PENJAGA gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim melompat menumbuk bola ketika menentang TFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - FOTO Imran Makhzan
Malik Muhamad

HASRAT Terengganu FC (TFC) membalas dendam kekalahan pada aksi final Piala Malaysia musim lalu ke atas Perak tidak kesampaian apabila terikat 1-1 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Irfan Bakti terpaksa mengharapkan pemain berdarah campuran Malaysia-England, Lee Tuck menyelamatkan maruah mereka apabila meledak gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit akhir perlawanan.

Terdahulu pertemuan ibarat ulangan pentas final Piala Malaysia musim lalu itu bermula rancak dengan beberapa gerakan menarik dicipta pemain kedua-dua pasukan, namun gagal memecah benteng lawan masing-masing.

Pada minit ke-16 skuad The Bos Gaurus seharusnya berada di depan melalui rembatan kencang Gilmar da Silva yang hanya berdepan dengan penjaga gol, tapi Mohd Suffian Rahman berjaya menepis percubaan pemain itu.

Percubaan terbaik skuad Penyu untuk memimpin perlawanan hadir pada minit ke-23 menerusi rembatan leret kapten pasukan, Kipre Tchetche yang sedikit tersasar sebelah kanan pintu gol pelawat.

Seminit sebelum pengadil, Razlan Joffri Ali menamatkan aksi pada babak pertama, Tchetche sekali lagi berpeluang mencetak nama sebagai penjaring menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti, namun percubaan pemain kelahiran Ivory Coast itu hanya sedikit melepasi palang gol.

Bersambung babak kedua, Perak terlebih dahulu mencemaskan kubu skuad Penyu melalui rembatan kencang Idris Ahmad dari luar kotak penalti pada minit ke-47 yang sedikit tersasar sebelah kanan pintu gol.

Dua minit berselang giliran pertahanan tuan rumah, Nasrullah Hanif Johan berpeluang memecah kebuntuan jaringan melalui tandukannya hasil sepakan percuma Tuck juga sedikit tersasar.

Pada minit ke-60, Tuck harus menyalahkan diri sendiri selepas lambat membuat keputusan biarpun berupaya melakukan rembatan dalam kotak penalti.

Hasil satu serangan balas, pelawat akhirnya berjaya memperoleh gol melalui tolakan mudah Wander Luiz hasil lorongan Shahrul Saad pada minit ke-71 untuk mendahului perlawanan 1-0.

Tersentak jaringan itu tuan rumah memperkemaskan asakan dan berpeluang menyamakan kedudukan, namun tandukan Nasrullah Hanif pada minit ke-76 serta sepakan percuma Tuck seminit selepas itu gagal menerjah jaring gol.

Pada minit akhir perlawanan, TFC mendapat sepakan penalti selepas Tuck dijatuhkan dan pemain itu sendiri yang mengambil sepakan berkenaan sekali gus berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dan menyelamatkan maruah pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 11:47 PM