ALEXANDER-ARNOLD (kanan) bersaing dengan pemain Watford, Gerard Deulofeu di Anfield, Rabu lalu. — FOTO AFP
AFP

JUERGEN Klopp sudah melihat impian Liverpool untuk meraih gelaran mendapat tonik tambahan daripada sumber tidak disangka menjelang pertembungan dengan musuh setempat Merseyside, Everton awal pagi Isnin ini.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu berdepan tekanan pada saingan di gelanggang sendiri Rabu lalu menentang Watford selepas prestasi terbaik ditampilkan pencabar terdekat mereka, Manchester City.

Namun Liverpool yang memburu gelaran liga pertama dalam tempoh 29 tahun melalui ujian dengan baik apabila menang besar 5-0 yang meletakkan mereka satu mata di depan pasukan tangga kedua, City.

Bagaimanapun ketika trio serangan Liverpool - Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino sudah meraih pelbagai kejayaan sejak dua musim lalu, sebenarnya pertahanan Klopp yang menghadiahkan kemenangan itu.

Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson memberikan bantuan untuk gol dalam semua lima jaringan di Anfield, dengan Alexander-Arnold melakukan dua hantaran lintang buat Mane dan tandukan yang disempurnakan Virgil van Dijk.


ROBERTSON (kiri) dan Van Dijk menjadi tonggak utama benteng pertahanan Reds musim ini. — FOTO EPA

Ia menjadi petunjuk musim cemerlang sedang dicipta di kedua-dua bahagian selain evolusi permainan Liverpool secara keseluruhan.

“Ia penting. Itulah bola sepak moden,” kata Klopp.

“Jika anda tanya budak kecil ‘apa posisi kegemaran anda?’ Saya tidak rasa ramai antara mereka mahu menjadi pertahanan sepenuhnya!’

“Namun bola sepak sudah berubah. Mereka menjadi lebih penting. Saya sendiri pemain pertahanan dalam karier saya, ia tampak sangat berbeza berbanding apa yang mereka lakukan ketika ini.

“Tapi sekurang-kurangnya saya tahu apa yang boleh dilakukan; anda perlu kuat di benteng pertahanan, tapi di bahagian lain, banyak pasukan menggunakan sayap untuk pertahanan melakukan serangan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 2:05 PM