HIGUAIN (kiri) baru meledak dua gol buat Chelsea selepas empat aksi setakat ini. — FOTO Reuters
AFP

PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri memberi amaran kepada pemainnya supaya menjangkakan reaksi berbeza daripada pasukan diancam penyingkiran, Fulham berikutan pemecatan Claudio Ranieri.

Fulham, yang menghuni tangga ke-19 Liga Perdana Inggeris, memecat Ranieri daripada jawatan pengurus Khamis lalu selepas keputusan buruk dan melantik Scott Parker sebagai pemangku.

“Biasanya apabila ada perubahan jurulatih, akan ada reaksi. Jadi kami harus menghadapinya,” kata Sarri kepada wartawan, awal pagi tadi.

“Jadi sukar buat kami untuk bersedia menghadapi perlawanan itu dan mengetahui sistem baru permainan lawan. Mereka juga ada peluang untuk menyelamatkan diri, jadi kami akan bermain perlawanan yang sukar, pertembungan tetangga.”


KEDUDUKAN Sarri di Stamford Bridge terumbang-ambing. — FOTO EPA

Pertembungan esok adalah yang ketiga buat Chelsea dalam tempoh lapan hari selepas kekalahan menerusi sepakan penalti pada final Piala Liga di tangan Manchester City dan kemenangan ke atas Tottenham Hotspur, Rabu lalu.

“Bagi aksi Ahad ini, kami sudah bermain selama 130 minit dan 95 minit pada Rabu. Jadi kami perlu melihat kepada pemulihan kerana kami berlari 15 kilometer pada Ahad secara purata dan purata untuk perlawanan terakhir ialah 12km,” kata Sarri.

Sarri menegaskan penyerang Gonzalo Higuain perlu meningkatkan kecergasannya untuk kembali mendapatkan sentuhan gol sambil mengingati kembali prestasi pemain Argentina itu di Napoli di bawah kendaliannya apabila menyamai rekod Serie A dengan 36 gol pada musim 2015-16.

“Dia (Higuain) perlu lebih pantas kerana dia lebih banyak bertahan. Dia perlu meningkatkan keadaan fizikalnya, selepas itu dia tentu saja boleh menjaringkan gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 2:38 PM