Lukaku meraikan jaringan menewaskan Southampton. FOTO AFP
AFP

Manchester: Romelu Lukaku meledak jaringan kemenangan dramatik m-89 buat skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer menewaskan Southampton 3-2 di Old Trafford, malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan Manchester United memintas Arsenal di tangga keempat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketika United seakan-akan meraih sekadar keputusan seri pemain Belgium itu menyudahkan bola dari jarak 18-ela menuju ke penjuru gawang lawan.

Malah skuad Solskjaer berpeluang menikmati kemenangan mewah tetapi sepakan penalti m-95 oleh Paul Pogba diselamatkan oleh Angus Gunn selepas Stuart Armstrong menjatuhkan Marcus Rashford.

Kemenangan itu melebarkan rekod Solskjaer belum kalah dalam 15 perlawanan ketika United kelihatan seperti tercicir dua mata penting untuk saingan empat teratas dan kelayakan Liga Juara-Juara (UCL).

Pada perlawanan itu pemain tengah Saints James Ward-Prowse meledak jaringan sepakan percuma selepas 74 minit perlawanan untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Andreas Pereira menyamakan kedudukan buat United m-53 selepas Yan Valery meletakkan Saints mendahului m-26.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 2:35 AM