Pemain Terengganu FC, Kipre Tchetche (kanan) bakal dikenakan tindakan. FOTO NSTP.
Malik Muhamad


BIARPUN sudah dipanggil 'mengadap' dan diberi kata dua kerana gagal mempamer prestasi terbaik, penyerang utama Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche bakal dikenakan tindakan tegas termasuk berkemungkinan akan direhatkan bertemu Melaka United (MU), Sabtu ini.

Ia susulan kesabaran jurulatih pasukan itu, Irfan Bakti Abu Salim terhadap pemain import kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Ganu' bagaikan berada dikemuncaknya sesudah pemain itu masih belum menemui sentuhan jaringan selepas lima perlawanan.

"Sebelum ini saya sudah bagi amaran kepada penyerang itu (Tchetche) yang kekeringan gol selepas lima perlawanan dan jika dia tidak dapat berbuat sesuatu saya tiada pilihan lain melainkan terpaksa beri surat amaran kepadanya selepas ini.

"Saya tidak boleh biarkan perkara ini daripada berlarutan kerana kita memerlukan kemenangan dalam setiap perlawanan selepas hanya mencatat satu kemenangan dan tiga kali seri serta tewas sekali setakat ini.

"Dia (Tchetche) harus 'bangun' bukti kemampuan sebagaimana musim lalu kerana dia adalah pemain yang menjadi sandaran untuk menghasilkan jaringan buat pasukan lagipun musim lalu dia adalah penjaring kedua terbanyak liga dengan 14 gol," ujar Irfan yang enggan mendedahkan sebab utama prestasi pemain itu merudum.


PEMAIN TFC, Ahmad Syamin Yahya diasak pemain Perak, Shahrul Saad di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat lalu. Kedua-dua pasukan weri 1-1.

Musim lalu, pemain paling mahal skuad Penyu berusia 31 tahun itu berjaya meledak 24 gol keseluruhan dalam Liga Malaysia (Liga M) termasuk saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Sebelum ini, pemain itu bertekad untuk bangkit meningkatkan prestasinya ketika bertemu Perak Jumaat lalu, namun aksi kurang memuaskan selain gagal meledak gol menyebabkan Irfan 'naik angin'.

"Persembahan pemain itu ketika bertemu Perak ada nampak peningkatan sikit, tapi jika dinilai ketika bertemu Kuala Lumpur sebelum ini, saya dah bersedia untuk menukar pemain itu dengan Ashari (Samsudin), kerana dia gagal beraksi dengan baik.

"Justeru sebelum pemain berkenaan terus dihimpit ketandusan gol, saya gesa pemain itu berusaha lebih gigih lagi bagi mengelak perkara ini berlanjutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 11:35 AM