PEMAIN Kedah, Shakir Hamzah (kiri) diasak import PKNS FC, Rommel Morales di Stadium Darul Aman, semalam. - FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail

"SAYA berpuas hati keputusan malam ini (seri), kita bermula baik babak pertama dengan memberi tekanan kepada Kedah terutama peluang terbaik melalui Faizat Ghazli yang jika mendapat gol, rentak perlawanan pasti bertukar,” menurut ketua jurulatih PKNS FC,  Datuk K Rajagobal yang memuji persembahan anak buahnya selepas berjaya mengikat Kedah tanpa jaringan dalam aksi Liga Super  di Stadium Darul Aman semalam.

"Tetapi pada babak kedua, kita tidak bermain seperti babak pertama namun pemain bekerja keras dengan komitmen tinggi walaupun Kedah nampak mahu mencari gol dengan serangan bola hantaran jauh kepada penyerang, sayap kiri dan kanan...itu cara mereka lakukan, namun mendapat satu mata sudah memadai untuk kita datang ke sini."

Rajagobal mengakui PKNS mahu memberi tekanan kepada Kedah dengan menyasarkan Faizat, Chan Vatanaka dan Rommel Morales yang memiliki larian pantas bagi membolosi gawang Kedah lebih awal.

"Kita mahu cari situasi (gol) itu dan kalau memperolehinya dalam tempoh 15 minit mungkin kita akan terus dapat memberi tekanan kepada Kedah.

"Kita juga mahu pemain berwaspada pada babak kedua kerana jika kita kehilangan bola sewaktu serangan, Kedah yang memiliki pemain bagus pasti mempunyai ruang mencipta gol, jadi kita mahu pemain kita lebih berdisiplin dan cuba mencari peluang terbaik memandangkan Kpah Sherman tidak beraksi bersama kita."

Bekas ketua jurukatih skuad kebangsaan ini juga mendedahkan rahsia skuadnya berjaya mengekalkan perlawanan tanpa bolos dalam tiga perlawanan berturut-turut adalah melalui hasil kerja keras serta displin yang diterapkan pada setiap pemainnya.

"Kita bekerja keras dan setiap pemain tahu bahawa apabila mereka berdisiplin dan tidak memberi peluang kepada mana-mana pemain sayap kiri, kanan dan penyerang pihak lawan, mungkin kita tidak dibolosi," katanya.

Ditanya mengenai peluang PKNS yang akan bertemu FELDA United selepas ini tanpa aksi pemain import Sherman yang digantung dua perlawanan akibat kad merah sebelum ini, Rajagobal berkata beliau akan menggunakan apa saja kelebihan pemain yang ada seperti mana beliau melihat Faizat beraksi dengan baik semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 5:31 PM