AKSI Gray menjaringkan gol kedua Watford ketika menewaskan Leicester. - FOTO Reuters
Agensi

JARINGAN lewat Andy Gray membolehkan Watford menewaskan Leicester City 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Vicarage Road sebentar tadi sekali gus permulaan mengecewakan buat pengendali baharu The Foxes, Brendan Rodgers.

Kemenangan menyaksikan Watford kekal di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris dan berada di landasan untuk menamatkan saingan elit itu di kedudukan terbaik dalam sejarah kelab.

Skuad kendalian Javi Gracia mendahului seawal minit kelima berpunca hantaran Gerard Deulofeu yang disambar Troy Deeney dengan tandukan ke belakang menewaskan Kasper Schmeichel.

Selepas babak pertama berakhir tanpa tambahan jaringan, gol yang dicari-cari Leicester akhirnya muncul menerusi penyerang England, Jamie Vardy pada minit ke-75.

Selepas bijak melepasi perangkap penalti pertahanan Watford, Vardy kemudian tidak bermasalah untuk menewaskan Ben Foster dengan kuisan.

Jaringan itu jelas menceriakan kem Leicester tetapi ketika perlawanan tampak berakhir dengan keputusan seri, Gray yang dimasukkan bagi menggantikan Gerard Deulofeu muncul pemusnah.

Berpunca daripada kesilapan Schmeichel, Deeney yang berjaya menghidu peluang membuat hantaran kepada Gray yang kemudian menewaskan pertahanan Leicester, Wes Morgan untuk melepaskan rembatan kencang ke tengah gawang. 

Kekalahan menyaksikan Leicester mengisi tangga ke-11 liga selepas mengumpul 39 mata daripada 29 perlawanan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 10:44 PM