PENJAGA gol Kuala Lumpur, Sharbinee Allawee gagal menahan bola rembatan Nazrin (kiri) di Stadium Hang Jebat. - FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nazri Abu Bakar

MELAKA United (MU) melonjak ke tangga keempat Liga Super selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) 2-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Skuad tuan rumah yang lebih banyak menguasai permainan jelas berjaya menghidupkan jentera tengah sehingga lawan agak tenggelam pada separuh masa pertama.

Hasilnya pada minit ke -14, MU meledak jaringan pertama menerusi tandukan Darco Markovic selepas menyambut hantaran lintang Faris Shah Rosli menewaskan penjaga gol lawan,  Mohd Sharbinee Allawee.

Kubu The City Boys bocor lagi dua minit selepas itu menerusi bekas bintang Johor Darul Ta'zim (JDT)  Nazrin Nawi yang menerima hantaran kapten MU, Safiq Rahim untuk gol kedua tuan rumah.

Nazrin sekali lagi hampir menambah jaringan kedua peribadinya pada minit ke -30 namun Sarbinee pantas menyelamatkan gawangnya.

KL turut memiliki peluang menjaringkan gol pada babak pertama menerusi percubaan Luke Wooland dan Zhafri Yahya pada minit ke-26 dan 32 namun diselamatkan penjaga gawang skuad Hang Tuah, Khairul Fahmi Che Mat.

Babak kedua pelawat cuba meningkatkan corak permainan menerusi serangan balas pantas termasuk percubaan Paulo Josue m-54 namun sedikit tersasar ke kanan gawang MU.

Kemenangan terbabit membolehkan skuad Hijau Putih mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri sekali gus menempatkan diri dalam kelompok empat teratas liga.

Manakala kekalahan pelawat menyaksikan mereka masih gagal meraih sebarang mata mendorong ketua jurulatihnya Yusri Che Lah merangka strategi lebih efektif untuk bangkit daripada persembahan kurang meyakinkan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 11:18 PM