AFP

MARIO Balotelli menunjukkan gaya baharu meraikan jaringan awal pagi tadi apabila mengambil swafoto bersama rakan sepasukannya di Marseille dan memuat naik ke media sosial ketika menang 2-1 ke atas Saint-Etienne.

Pemain Itali itu meledak gol keempat dalam enam aksi Ligue 1 sejak menyertai Marseille dari Nice pada Januari dengan menyambut sepakan sudut Florian Thauvin pada minit ke-12 dengan sepakan voli akrobatik yang menakjubkan.

“Balotelli menerima tekanan, dia sukakan tumpuan. Dia mengingatkan saya kepada (Zlatan) Ibrahimovic dan menjaringkan gol gaya Ibrahimovic," kata jurulatih Saint-Etienne Jean-Louis Gasset.

“Dia memberikan kepada orang ramai keyakinan dan ramai rakan sepasukan akan meningkatkan tahap permainan mereka.”

Sewaktu meraikan sepakan voli itu, Balotelli mengambil telefon pintar daripada jurukamera di belakang gol sebelum merakam video bersama rakannya yang ketawa.

Dia turut memasukkannya foto ke dalam kisah Instagramnya.

Pemain berusia 28 tahun itu kemudiannya menyambung permainannya.

Dia bagaimanapun bukanlah yang pertama meraikan gol dengan mengambil swafoto, selepas legenda Roma Francesco Totti mengambil swafoto selepas menjaringkan gol ke atas Lazio pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 12:48 PM
Balotelli berswafoto bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol. FOTO Youtube
Skip this ad x