Loqman (kanan) berada dalam radar Aidil. FOTO
Izzali Ismail


ALOR SETAR: Kapten skuad Piala Presiden Kedah, Mohd Loqman Hakim dan pemain senior Khairul Helmi Johari adalah dua calon terbaik menggalas tugas selaku pertahanan tengah berdepan Pahang dalam Liga Super, Jumaat ini.

Ia ekoran pemain import kelahiran Brazil, Renan Alves yang tidak dapat beraksi selepas digantung perlawanan akibat layangan kad merah diterima pada perlawanan menentang PKNS FC, Sabtu lalu.

Loqman, 21, mula berlatih bersama skuad Lang Merah sejak pra-musim dan bersama skuad Piala Presiden sejak dua tahun lalu.

Dia turut disenaraikan dalam skuad Malaysia Bawah 23 Tahun untuk Sukan Asia 2018 yang lalu.

Sementara Khairul Helmi Johari atau Keon pula pemain senior berpengalaman, pernah menggalas tugas kapten dan bersama Kedah sejak 2007.

Dia pasti antara individu berada dalam radar ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk posisi berkenaan.

Bekas pemain Kedah, Amirul Nizam Mahadzir yang juga juga Setiausaha Persatuan Bekas Pemain Kedah (KEFA) berkata, Loqman dan Khairul Helmi dua calon diyakini mampu menggalas mengukuhkan benteng Kedah di Kuantan.

"Ya, saya lihat kedua-duanya mampu berikutan ketiadaan Alves.

Kini terpulang kepada kesesuaian strategi akan ditentukan oleh Aidil.

"Berdasarkan pengalaman dan kepakaran Aidil, saya yakin beliau ada formula terbaik mengatur kekuatan jentera pertahanan Kedah dengan ketiadaan Alves.

"Bukan tugas mudah beraksi di tempat lawan kerana Pahang antara pencabar terkuat Lang Merah dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

“Jadi pemain Kedah perlu motivasi dan keyakinan tinggi beraksi di sana.

"Amirul berharap pemain Kedah melupakan keputusan perlawanan lalu dan fokus memburu kemenangan.

"Walaupun kita tahu pemain import mereka seperti Ze Love tidak turun beraksi akibat tiga kad kuning diterima sebelum ini, ia bukan alasan memandang mudah lawan.

"Pahang skuad berpengalaman. Kedah perlu sedia dan memanfaatkan peluang mencetak gol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 4:44 PM