CHENG Hoe dijangka tiada masalah memiliki kesebelasan terbaik hadapi Piala Airmarine 2019.
CHENG Hoe dijangka tiada masalah memiliki kesebelasan terbaik hadapi Piala Airmarine 2019.
Meor Riduwan Meor Ahmad

JURULATIH skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijangka tidak berdepan masalah memilih kesebelasan terbaik untuk menggalas misi negara di Piala Airmarine 2019.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ini kerana terdapat ramai pemain berkualiti boleh menggantikan beberapa pemain skuad B-23 yang membuat persediaan untuk kelayakan Olimpik Tokyo dan Piala Asia di Thailand pada Januari 2020.

“Kita sudah bincang dengan Datuk Ong Kim Swee dan Tan Cheng Hoe. Kita tetapkan pasukan terbaik B-23 kekal. Cheng Hoe punya banyak pilihan pemain untuk dicuba seperti Matthew Davies selain pemain baru yang menyinar dalam Liga Malaysia ketika ini,” kata -

nya selepas Majlis Pengundian Piala Airmarine 2019 di Wisma FAM, hari ini.

Sementara itu, Timbalannya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mahu Cheng Hoe teliti memilih pemain berkualiti untuk pasukan kebangsaan.

“Cheng Hoe perlu ambil kesempatan menilai pemain berumur atas 23 tahun yang tidak kurang berkualiti. Dulunya kita bercakap dari segi semangat untuk wakili negara, tetapi saya lihat sejak kemenangan skuad B-23 di China, semangat pemain sudah berubah dan

semakin melonjak untuk mewakili negara.

“Bukan lagi isu kualiti kerana pemain yang kita ada tidak kurang hebatnya dengan pemain Vietnam, Thailand dan Indonesia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga pengurus pasukan berkata, senarai pemain Harimau Malaya dijangka diumum Rabu ini.

“Biarlah jurulatih umumkan. Seperti dinyatakan Datuk Hamidin, nama-nama yang tercicir dari skuad kebangsaan sebelum ini akan dipanggil semula. Nor Azam Abdul Azih dan Matthew Davies misalnya, ada dalam senarai kita tetapi yang terlalu veteran tidak ada.

“Kita kena realistik sebab selain pengalaman, faktor umur juga main peranan.

Jika betul-betul boleh menyumbang kepada kekuatan pasukan negara, saya fikir jurulatih akan menilai keseluruhannya, ” katanya .

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 10:54 PM