PANDELELA (dua dari kanan), Mun Yee (dua dari kiri) dan Dhabitah (kiri) akan berentap di Beijing dari 7-9 Mac ini.
Ferzalfie Fauzi

TANPA sebarang pingat dan hanya satu rekod baru kebangsaan tetap memberi kepuasan kepada jurulatih terjun negara, Christian Brooker sepanjang tiga hari di kejohanan Siri Terjun Dunia Sagamihara, Jepun hujung minggu lalu.

Menurut pengendali kelahiran Australia itu, semua penerjun berjaya memberikan persembahan terbaik walaupun hanya melakukan persiapan dalam tempoh singkat. "Setiap penerjun mendapat pengajaran berguna untuk dijadikan sebagai panduan pada masa akan datang. Saya akan berbincang dan memberi penerangan kepada mereka seorang demi seorang minggu ini," katanya.

Kata Brooke, sasaran diletakkan buat penerjun negara adalah terus kekal cergas dan berlatih pada tahap 100 peratus hingga ke Kejohanan Dunia tahun ini.

"Selepas ini tumpuan terarah kepada siri kedua di Beijing (7 hingga 9 Mac) dan saya mengekalkan penerjun serta acara yang sama seperti di Jepun," katanya.

Rekod kebangsaan baru terhasil dalam acara tiga meter papan anjal seirama campuran dilakukan gandingan Syafiq Puteh-Nur Dhabitah Sabri.

Mereka mengumpul 304.80 mata dan memadam rekod lama yang dilakukan mereka sendiri sebelum ini ialah 295.80 di Piala Dunia Terjun di Wuhan tahun lalu.

Berdasarkan senarai di Sagamihara, Leong Mun Yee sekali lagi akan bergandingan bersama Hanis Nazirul Jaya Surya dalam acara 10m platform seirama campuran, manakala Pandelela Rinong menyertai dua acara 10m platform individu dan seirama wanita bersama Dhabitah.

Selain tiga meter papan anjal seirama campuran bersama Syafiq, Dhabitah juga bakal berpasangan dengan Kimberly Bong untuk acara tiga meter papan anjal seirama wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 12:35 AM