AIDIL merangka taktik baru skuad Lang Merah berdepan Pahang Jumaat ini. FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail


KETUA Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak bakal menggunakan strategi baharu bagi mengukuhkan benteng pertahanan skuad Lang Merah dalam aksi perlawanan Liga Super menentang juara Piala FA musim lalu Pahang di Kuantan Jumaat ini.

Aksi tanpa import pertahanan Renan Alves di Kuantan yang kini menjalani hukuman penggantungan kad merah ternyata memberi cabaran baharu buat Aidil dalam menyiapkan ‘ramuan’ baharu selepas Kedah berjaya mengekalkan rekod terbaik dengan jumlah satu gol bolos dalam lima perlawanan pertama Liga Super.

“Untuk beraksi bertemu Pahang di tempat lawan, tentunya ia satu cabaran yang besar dan semestinya kita harus memiliki strategi yang berbeza yang perlu bawa ke sana untuk memburu kemenangan,” katanya.

“Bagi pengganti Alves, saya belum membuat keputusan penuh kerana kita belum ada jawapan yang tetap siapa yang akan mengisi posisi berkenaan buat masa ini.

“Kita masih ada beberapa hari lagi untuk latihan dan selepas itu, pemain yang mampu menunjukkan prestasi terbaik semasa latihan bakal dipilih.”

Aidil juga tidak mahu terlalu memikirkan ketiadaan Alves kerana baginya hal itu sudah terjadi, sebaliknya beliau mahu semua pemain terus fokus untuk menghadapi perlawanan.

“Kita akan gunakan apa sahaja peluang yang kita miliki kerana bolasepak adalah berkaitan 11 pemain secara keseluruhan diatas padang,” katanya.

“Saya melihat Pahang satu pasukan yang bakal memberi cabaran hebat dalam semua posisi untuk Kedah dan saya menjangkakan satu perlawanan yang lebih mencabar berbanding mana-mana perlawanan sebelum ini.”

Disebalik tekanan yang sudah mula dirasai, Aidil tetap mahu skuadnya terus menyusun langkah bekerja keras dalam latihan dan mencapai sasaran seperti yang telah dirancang.

“Bagi saya bolasepak adalah mengenai hal bekerja keras, jika pemain dapat menunjukkan kerja keras dalam tempoh 90 minit perlawanan tanpa melakukan kesilapan, pasukan mampu mendapat kejayaan.”

“Saya telah memberi motivasi tambahan serta sokongan moral kepada semua pemain semalam dan memaklumkan agar mereka harus terus memiliki kekuatan bersama sebagai satu pasukan jika mahukan kejayaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 11:36 AM