VETTEL sudah memasuki musim kelima bersama pasukan Ferrari. FOTO AFP
Reuters

SETIAP pemandu Ferrari pastinya menanggung harapan tinggi pasukan namun tekanannya lebih hebat buat Sebastian Vettel apabila pelumba Jerman itu memasuki musim kelimanya bersama pasukan Formula Satu yang paling berjaya dan glamor.

Perbandingan dengan rakan senegara yang hebat Michael Schumacher, yang perlu menunggu sehingga tahun kelima di Maranello pada 2000 sebelum menamatkan kemarau kemenangan buat pengeluar Itali, kini kembali dibangkitkan.

Ferrari yang kali terakhir menjulang gelaran lebih sedekad lalu, menaruh harapan tinggi kepada Vettel yang mencatat masa terpantas pada sesi ujian dan pencabarnya di Mercedes Lewis Hamilton membayangkan jentera Itali itu mungkin setengah saat lebih pantas.

Vettel yang memburu gelaran kelima tentunya bimbang untuk memperbesarkan perkara itu ketika ditanya pada awal sesi ujian bahawa sudah tiba masanya untuk mengulang kejayaan juara dunia tujuh kali itu.

“Sejujurnya lima tahun bagaikan tidak terasa tetapi itulah dia,” kata pelumba berusia 31 tahun itu menyertai pasukan terbabit sebagai juara dunia empat kali dengan Red Bull dan kini memiliki usia yang sama seperti Schumacher 19 tahun lalu.

“Secara keseluruhan, peningkatannya ada, pasukan sedang membangun dan semakin hampir setiap tahun jadi saya harap kami akan berseronok tahun ini dan seronok bermaksud kami menang banyak perlumbaan dan pastinya berjuang untuk kejuaraan.

“Jelasnya itulah yang kami mahukan tetapi ia masih jauh lagi,” kata pelumba Jerman itu.


VETTEL (kiri) dan Charles Leclerc bersama jentera baharu Ferrari SF90. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 12:14 PM