FAISAL dan rakan sepasukan tekad tewaskan Lang Merah. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak


SKUAD Pahang tidak mahu mengulangi kesilapan terlepas tiga mata di laman sendiri apabila melayan Kedah di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini.

Pada perlawanan keempat Liga Super dengan Selangor 24 Februari lalu, skuad kendalian Dollah Salleh akur apabila terikat 1-1 dengan Red Giants.

Bagi memastikan skuad Tok Gajah memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli dan rakan sepasukan tekad untuk mengecewakan skuad Lang Merah.

“Biarpun Kedah belum lagi tewas dalam lima perlawanan, kami akan memastikan tiga mata tetap menjadi milik skuad Tok Gajah dalam usaha mengukuhkan kedudukan liga.

“Kejayaan mengekalkan pasukan daripada dibolosi ketika bertemu PKNP FC Sabtu lalu, diharap mampu dipertahankan untuk memastikan Kedah pulang hampa.

“Kembalinya Herold Goulon yang menamatkan penggantungan satu perlawanan diyakini mengukuhkan lagi jentera pertahanan,” kata pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu.

Ditanya ketiadaan pertahanan import Kedah, Renan Alves, Mohd Faisal berkata, skuad itu tidak boleh memandang mudah keupayaan lawan.

Katanya, ini kerana jentera serangan skuad Lang Merah itu cukup berbisa yang memerlukan kubu Tok Gajah kekal fokus sepanjang 90 minit.

“Oleh itu, misi tiga mata dapat diteruskan selepas kami berjaya menewaskan PKNP 3-0,” kata Mohd Faisal atau Tocang.

Selepas lima perlawanan, skuad Pahang berada di tangga kedua liga manakala Kedah pula di kedudukan ketiga tetapi berkongsi 11 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 1:46 PM