AZEEM bersama Hazuan (dua dari kiri) dan Amir (dua dari kanan).
Azlan Muhammad Zain

PERMATA baru 100 meter, Muhammad Azeem Mohd Fahmi masih belum bersedia bersaing secara kompetitif dengan pelari elit negara yang lain.

Sebaliknya atlet berusia 15 tahun dari Perak berkenaan memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi untuk berada dalam kondisi terbaik bersaing di tahap itu.

"Sesetengah orang akan cuba memberi tekanan untuk terus melonjakkan dia namun kami sebagai jurulatih mahu membiarkannya meningkat secara perlahan-lahan.

Belum masanya untuk dia mencabar pelari elit negara.

"Menerusi pengalaman saya, kita tidak boleh terlalu memaksa kerana mungkin memberi kesan buruk yang mungkin akan hilang begitu saja. Jadi biarkan dia menikmati tempoh ini. Saya fikir dia akan bersedia mencabar pelumba elit pada usia 17 atau 18 tahun nanti," menurut jurulatihnya, Mohd Hazuan Zainal Abidin.

Bekas pemenang gangsa lompat jauh Sukan SEA 2003 itu bergandingan bersama Amir Izwan Tan melatih Azeem di SMK Gunung Rapat.

Azeem mencuri tumpuan minggu lalu apabila meraih emas dalam 100m pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara, Sabtu lalu dengan melakar rekod temasya menerusi catatan 10.69 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 10:50 PM