Mat Yo (kiri) dan Sumareh sedia robek benteng Kedah di laman sendiri. FOTO NSTP


SKUAD Pahang dijangka mempertaruhkan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh di bahagian serangan apabila melayan kunjungan Kedah di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam esok. 

Norshahrul atau Mat Yo dan Sumareh bakal menjadi senjata utama skuad Tok Gajah untuk membolosi gawang skuad Lang Merah disebabkan ketiadaan Dickson Nwakaeme dan Jose Eduardo. 

Nwakaeme dan Eduardo atau Ze Love masing-masing mengalami kecederaan dan penggantungan satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning. 

Mengulas situasi itu, pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang tidak menolak percaturan yang akan dilakukan Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan. 

"Apa yang boleh saya katakan ialah Nwakaeme belum lagi cergas disebabkan kecederaan pangkal paha dialami ketika bertemu PKNP FC minggu lalu. 

"Penyerang Brazil (Eduardo) sah tidak dapat beraksi kerana menjalani penggantungan satu perlawanan.  "Bagaimanapun, saya percaya skuad Tok Gajah akan mempamerkan prestasi terbaik walaupun tidak dapat menurunkan Nwakaeme dan Eduardo," katanya. 

Pada masa sama, skuad Tok Gajah masih tidak dapat menurunkan pertahanan kental, Muslim Ahmad yang masih belum pulih daripada kecederaan. 

Namun, Mohammed Suffian berkata, kembalinya dua pemain import, Harold Goulon dan Safuwan Baharudin dijangka memperkasakan jentera pertahanan dan tengah. 

Katanya, kehadiran Goulon dan Safuwan diharap membantu skuad Pahang untuk mengutip tiga mata selepas sekadar seri 1-1 dengan Selangor di laman sendiri pada 24 Februari lalu. 

"Pahang tidak boleh hilang tiga mata jika mahu terus bersaing dan menduduki tangga teratas liga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 3:52 PM