Gandingan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong beraksi baik di Seluruh England. FOTO NSTP.
Saiful Affendy Sapran


BEREGU profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mempamer aksi bertenaga selepas menewaskan pilihan keempat dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe pada pusingan kedua Seluruh England, hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu melakar kemenangan 21-18, 21-19 pada perlawanan yang berlangsung selama 40 minit itu.

Kejayaan itu bermakna V Shem-Wee Kiong bakal beraksi pada saingan suku akhir esok.

Mereka bakal bertemu gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang juga pilihan kelapan kejohanan.

Gandingan itu mara ke suku akhir selepas berhempas pulas menewaskan pasangan China, Ou Xuanyi-Ren Xiangyu 13-21, 21-19, 23-21 dalam tempoh satu jam satu minit.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal meneruskan kemaraan selepas terkandas di pusingan kedua.

Peng Soon-Liu Ying yang turut meraih perak di Rio mempamer aksi terpuji sebelum tewas 15-21, 21-16, 21-23 di tangan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 10:20 PM