MONREAL menjaringkan gol sendiri yang gagal diselamatkan penjaga gol Arsenal, Petr Cech. — FOTO Reuters
MONREAL menjaringkan gol sendiri yang gagal diselamatkan penjaga gol Arsenal, Petr Cech. — FOTO Reuters
AFP

ARSENAL berdepan ujian getir jika mahu layak ke suku akhir Liga Europa selepas kalah 1-3 di laman lawan kepada Rennes di Perancis awal pagi tadi, sekalipun Alex Iwobi meletakkan Gunners di depan pada awal perlawanan.

Gol Iwobi memberikan kelab Liga Perdana Inggeris itu permulaan sempurna bagi aksi pertama, pusingan 16 terakhir di Roazhon Park, namun perlawanan itu berubah apabila pertahanan Arsenal, Sokratis Papastathopoulos dibuang padang empat minit sebelum rehat.

Benjamin Bourigeaud menyamakan kedudukan buat kelab Perancis itu tidak lama kemudian dan asakan mereka pada babak kedua berhasil apabila gol sendiri Nacho Monreal menyaksikan Rennes mendahului sebelum tandukan lewat Ismaila Sarr memberikan mereka kelebihan dua gol.

Anak buah Unai Emery kini perlu mengatasi defisit itu pada aksi kedua di Stadium Emirates, minggu depan jika mereka mahu mara lebih jauh dalam pertandingan itu yang muncul satu-satunya peluang mereka untuk meraih trofi musim ini selain potensi menjadi laluan ke Liga Juara-Juara musim depan.

SARR (kiri) menanduk masuk gol ketiga Rennes di Roazhon Park. — FOTO AFP
SARR (kiri) menanduk masuk gol ketiga Rennes di Roazhon Park. — FOTO AFP

Gunners bangkit daripada defisit aksi pertama untuk mengalahkan BATE Borisov pada pusingan terdahulu, namun Rennes satu tahap berbeza dari segi kualiti dan menyerlah pada penampilan terbaik mereka setakat ini di Eropah.

Keputusan itu turut menggembirakan kelab Perancis selepas kekalahan memilukan Paris Saint-Germain di tangan Manchester United dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Rennes menyingkirkan Real Betis pada pusingan sebelum ini dan suasana di stadium gegak-gempita dengan penonton hampir memenuhi kapasiti 30,000.

Arsenal kehilangan khidmat penyerang Perancis, Alexandre Lacazette, yang digantung bagi kedua-dua aksi selepas dibuang padang menentang BATE di Belarus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 7:11 AM