MARQUEZ (kiri) bersaing dengan pelumba Red Bull, Pol Espargaro di Valencia tahun lalu. — FOTO Reuters
AFP

PELUMBA ternama MotoGP menggesa pegawai keselamatan perlumbaan pembuka tirai musim ini Grand Prix Qatar supaya mempercepatkan perlumbaan sejam lebih awal susulan kebimbangan mengenai cuaca di Doha.

Juara bertahan Marc Marquez, pencabar Jorge Lorenzo dan Alex Rins antara yang meminta panel keselamatan supaya perlumbaan Ahad ini diadakan pada jam 7 malam (waktu tempatan) untuk mengatasi cuaca panas, bahang dan berangin di negara gurun itu.

“Tahun lalu perlumbaan bermula jam 7 dan ia amat bagus, kurang risiko,” kata Marquez pada sidang akhbar.

Pandangannya disokong oleh beberapa pelumba termasuk rakan senegaranya dari Sepanyol, Rins.


PELUMBA MotoGP (dari kiri) Valentino Rossi, Fabio Quartararo, Lorenzo, Andrea Dovizioso, Marquez, Rins dan Maverick Vinales pada sidang akhbar di Doha, semalam. — FOTO EPA

“Bagi saya jika anda bermula pada jam 7, ia lebih selamat,” kata Rins, yang mengalami kemalangan pada GP Qatar tahun lalu.

Pertikaian untuk memulakan perlumbaan lebih awal adalah disebabkan suhu di Litar Losail yang tidak menentu beberapa hari sebelum perlumbaan pembuka tirai musim itu.

Lorenzo, pelumba pilihan untuk mencabar Marquez yang juga rakan sepasukan barunya di Honda, pernah melahirkan kebimbangan selepas terbabas ketika ujian pramusim, mendakwa ia mungkin “berbahaya” untuk memulakannya pada jam 8 malam.

Cuaca dijangkakan mencecah maksimum 24 Celsius di Doha Ahad ini, sekalipun ia dijangka berkurangan beberapa darjah pada sebelah petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 12:19 PM