Tonggak pertahanan Terengganu, Igor Zonjic. FOTO NSTP.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


PERTAHANAN Terengganu FC (TFC) dari Montenegro, Igor Zonjic, 28, meminta rakan senegaranya yang beraksi bersama Melaka United (MU), Darko Markovic melupakan hasrat jika mahu meledak gol kerana dia bakal dirantai apabila kedua-dua pasukan itu bertemu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok.

Selain itu, tonggak kental skuad Peteh Terengganu Peteh berketinggian 1.86 meter itu berkata, barisan pertahanan TFC sudah bersedia untuk menyekat penyerang tinggi lampai mereka yang dikenali Casagrande daripada bergerak bebas di dalam kawasan bahaya skuadnya.

"Kami sudah bersedia untuk merantai pergerakan Markovic walaupun dia dikhabarkan berhajat mencetak jaringan kedua peribadi.

"Secara peribadi saya tidak begitu mengenali secara lebih dekat pemain tengah pasukan MU itu (Markovic) walaupun kami datang dari negara sama.

"Sebelum ini saya tidak pernah melihat dia (Markovic) bermain kerana ini musim pertamanya dengan pasukan Melaka, saya hanya tahu dia berasal dari negara yang sama dengan saya.

"Bagaimanapun itu tidak penting bagi saya kerana apa yang lebih penting ialah saya mahu menyekat pemain itu dan juga pemain lain daripada bermaharajalela dalam kawasan kami," kata pemain itu yang sudah dua musim bersama TFC.

Bercakap mengenai kelebihan yang ada pada pasukan MU, Zonjic mengakui kekuatan utama skuad itu adalah terletak di bahagian 'enjin' mereka hasil kombinasi Markovic, Safiq Rahim dan Liridon Krasniqi.

"Kekuatan mereka adalah di posisi tengah dan jika kami berjaya sekat di bahagian itu mereka akan lumpuh seterusnya mudah bagi kami mengawal permainan.

"Namun begitu penyerang mereka, Casagrande harus diawasi, dia sangat tinggi, saya juga tahu corak permainan pemain itu musim lalu ketika menyarung jersi Felcra dan kami pernah bertembung dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia musim lalu.

"Tapi sejujurnya kami sasarkan kemenangan pertama, lebih-lebih lagi semua penyokong pasti dahagakan dan menantikan kejayaan itu di tempat sendiri, dengan sokongan padu mereka kami akan cuba laksanakannya," kata Zonjic.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 6:57 PM