Aksi beregu campuran negara, Shevon Lai-Goh Soon Huat Goh menentang pasangan China, Wang Yilhu-Huang Dongping di Kejohanan Badminton Seluruh England, hari ini. FOTO Reuters.
Saiful Affendy Sapran


BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terus melakukan kejutan apabila mara ke separuh akhir Seluruh England selepas mengatasi pilihan kedua kejohanan, Wang Yilhu-Huang Dongping.

Soon Huat-Shevon yang tidak diletakkan sebagai pasangan pilihan bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan lawan mereka dari China itu 13-21, 22-20, 21-18.

Meskipun tewas di set pertama, Soon Huat-Shevon tidak mudah mengalah dan memenangi dua set seterusnya pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam tiga minit itu.

Pada aksi separuh akhir esok, gandingan negara itu bakal bertemu pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Liu Ying tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas tersingkir di pusingan kedua semalam.

Chan Peng Soon-Liu Ying diambang kemenangan sebelum terpaksa menyerah kalah 15-21, 21-16, 21-23 di tangan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow.

"Memang kecewa kerana kami tidak dapat mata kemenangan pada set penentuan," kata Liu Ying merujuk kepada situasi di set penentuan yang tidak memihak kepadanya serta Peng Soon.

Liu Ying juga mengakui dia serta Peng Soon tidak sempat mempamerkan aksi terbaik di saingan berprestij itu selepas tersingkir awal.

"Saya boleh katakan prestasi kami di sini hanya 65 peratus saja. Kami mahu lupakan semua ini dan fokus kepada saingan Terbuka Malaysia," katanya ketika dihubungi.

Sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekali gus bergelar pemain profesional, gandingan pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu memenangi dua kejuaraan.

Pertama di Terbuka Masters Thailand, Januari lalu diikuti Kejohanan Badminton Kebangsaan, bulan lalu.

Turut tersingkir di pusingan kedua pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren apabila tewas kepada pilihan kedua dari China, Shi Yuqi, 8-21, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 8:32 PM