JURULATIH Juventus Massimiliano AllegrI. FOTO AFP
JURULATIH Juventus Massimiliano AllegrI. FOTO AFP
AFP

JURULATIH Juventus Massimiliano Allegri memberi amaran bahawa Liga Juara-Juara kini bagaikan menjadi obsesi pasukannya yang kini tedesak memperbaiki defisit 0-2 ke atas Atletico Madrid dalam aksi kedua 16 pasukan terbaik di Turin awal pagi Rabu depan.

Juventus membeli Cristiano Ronaldo musim panas lalu pada harga 100 juta euro (RM459.2 juta) dari Real Madrid dalam usaha menjulang trofi itu buat kali pertama sejalk 1996.

Namun bintang handalan Portugal berusia 34 tahun itu hanya menjaringkan satu gol dalam kejohanan tahun ini.

“Saya fikir harapan diletakkan terlalu tinggi dan menjadi satu obsesi,” kata Allegri mengenai kejohanan elit itu.

“Beraksi dalam perlawanan seperti Selasa depan (Rabu) sepatut menjadi sesuatu yang dinikmati. Jika Juventus tersingkir bukan bermakna kami gagal.

“Sejak saya datang Liga Juara-Juara sering menjadi matlamat tetapi jika orang berkata bahawa satu kegagalan apabila Juventus tersingkir ia tidak tepat.

“Saya rasa itu kelakar. Jika kami mara, baiklah tetapi jika tidak ia hanya satu perlawanan bola sepak dan kami akan cuba lagi.

“Secara teorinya kami menuju gelaran Scudetto kelapan berturut-turut dan menang Piala Super Itali.”

Dalam aksi Serie A awal pagi tadi Moise Kean menjaringkan dua gol bagi membantu Juve membuat persediaan terbaik menentang Atletico minggu depan dengan membenam Udinese 4-1, sekali gus berkelebihan 19 mata di puncak liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 8:10 AM