KUANTAN: Pemain tengah Pahang, Zuhair Aizat Mohd Nazri tidak menyangka muncul wira apabila jaringannya pada penghujung perlawanan membantu skuad itu mengutip tiga mata selepas menewaskan Kedah 1-0, malam tadi. 

Lebih membanggakan, pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu kali pertama beraksi dalam saingan Liga Super musim ini selepas enam perlawanan Liga Super. 

"Saya tidak sangka dapat menjaringkan gol kerana ia perlawanan pertama dan dimasukkan sebagai pemain gantian sebelum menjaringkan gol buat skuad Tok Gajah. 

"Ia pengalaman manis kerana kepercayaan diberikan jurulatih (Dollah Salleh) dibuktikan dengan jaringan yang membantu Pahang mengutip tiga mata. 

"Saya tidak dapat meluahkan dengan kata-kata kerana terlalu gembira selepas sememangnya menantikan peluang untuk turun beraksi," katanya. 

Pada perlawanan itu, Zuhair Aizat masuk menggantikan Mohamadou Sumareh m-81 tidak menunggu lama untuk membolosi gawang lawan empat minit kemudian. 

Aksi pemain berumur 23 tahun kali pertama beraksi dalam kancah Liga Super selepas hanya disenaraikan dalam 18 pemain ketika aksi Melaka United dan PKNP FC. 

Mengulas persembahan Zuhair Aizat, Dollah berterima kasih kepada pemain itu yang tidak menghampakannya bersama barisan kejurulatihan. 

"Walaupun tidak beraksi dalam lima perlawanan sebelum ini, apabila diberi peluang, Zuhair Aizat tidak mengecewakan saya kerana jaringan itu membantu Pahang mengutip tiga mata. 

"Dia membuat tindakan yang baik kerana berjaya menggelecek dua pemain sebelum melakukan rembatan menghasilkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 6:39 PM
Zuhari ledak gol kemenangan Pahang selepas masuk pada penghujung perlawanan. FOTO NSTP
Zuhari ledak gol kemenangan Pahang selepas masuk pada penghujung perlawanan. FOTO NSTP