Pemain Negeri Sembilan, Jose Almir (tengah) diasak pemain Sabah, Randy Baruh di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. FOTO NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN
Pemain Negeri Sembilan, Jose Almir (tengah) diasak pemain Sabah, Randy Baruh di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. FOTO NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Seremban: Hasrat Sabah melonjak ke puncak Liga Perdana tidak kesampaian apabila sekadar seri 0-0 dengan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Pada aksi separuh masa pertama, kedua-dua pasukan dilihat gagal mempamer aksi menarik dengan hantaran kurang kemas dan tiada serangan merbahaya di kubu lawan.

Peluang terbaik tuan rumah dimiliki pada minit ke-24 namun tandukan Jose Almir Baros Neto hasil hantaran lintang didakap kemas penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Pasukan pelawat juga memiliki peluang untuk menjaringkan gol namun tendakan leret Luiz Junior tersasar ke kiri palang gol Negeri Sembilan pada minit ke-40.

Bersambung babak kedua, mutu permainan yang dipamerkan kedua-dua pasukan terus hambar dan ia mengecewakan lebih 2,000 penyokong yang hadir.

Skuad kendalian Mat Zan Mat Aris dan Jelius Tabias Ating menemui jalan buntu apabila tiada jaringan mampu dihasilkan hingga wisel penamat.

Daripada lima perlawanan sebelum ini, Sabah mencatatkan tiga kemenangan dengan sekali seri dan kalah manakala skuad Hobin Jang Hobin seri tiga kali dan masing-masing sekali menang dan kalah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 12:46 AM