Azizulhasni dapat semangat baru dalam saingan keirin. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Berada di kedudukan kedua keirin dunia "membakar" semangat jaguh negara, Azizulhasni Awang untuk mengharungi musim baru nanti.

Ia diakui The Pocket Rocketman selepas kemaskini Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menyaksikan dia kini mengumpul 2485 mata susulan pencapaian menduduki tempat ketujuh pada Kejohanan Trek Dunia, Poland pada minggu lalu.

Dia mengumpul 450 mata di Poland untuk melonjak daripada kedudukan keempat manakala Yudai Nitta muncul di kedudukan pertama dengan 2610 mata.

"Sememangnya ia adalah motivasi untuk saya dalam misi mendapat emas di Olimpik Tokyo nanti.

Malah ia menunjukkan saya berada di landasan yang betul dan sentiasa konsisten," jelasnya.

Malah semuanya dilihat berjalan lancar dalam ranking keirin kelayakan Olimpik dengan laman web UCI menunjukkan Malaysia kini berada di kedudukan kelima dengan 3355 mata.

"Setakat ini tiada masalah untuk layak ke Tokyo menerusi keirin dan agak selesa. Cuma saya perlu kutip mata bagi acara pecut individu pada musim depan bagi memastikan tiada sebarang masalah timbul nanti.

"Cuma kita perlu bekerja keras untuk pecut berpasukan tahun depan kerana perlu mengejar lebih banyak mata," tambahnya.

Bagi ranking pecut berpasukan ke Olimpik, Malaysia berada pada kedudukan ke-14 dengan 2317.5 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 5:49 PM