Pemain Johor Darul Ta'zim II Patrick Reicehelt diasak pemain Terengganu FC II, Muhamad Hafizal dalam saingan Liga Perdana di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. FOTO NSTP/IMRAN MAKHZAN
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Biarpun gagal meneruskan rentak kemenangan, pendahulu Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim II (JDTII) kekal teratas liga selepas seri 0-0 dengan Terengganu FC (TFC II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Sebaik perlawanan bermula skuad tuan rumah terlebih dahulu mengasak kubu pelawat dan seharusnya mampu mendapat jaringan pertama melalui tandukan terbang Ramzi Sufian yang sedikit tersasar melepasi palang gol ketika aksi baharu memasuki 45 saat.

Selepas percubaan pertama itu kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan sekali lagi percubaan Ramzi pada minit kelapan hanya sedikit melepasi tiang gol pelawat.

Empat minit berselang JDT II mendapat peluang pertama melalui tandukan Bruno Gabriel Soares hasil sepakan sudut namun sedikit melepasi palang gol.

Pada minit ke-14, bekas penyerang kebangsaan, Rozaimi Abd Rahman patut menyalahkan diri sendiri selepas peluang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan biarpun hanya berdepan dengan penjaga gol, Mohd Sharmiza Yusof.

Begitu juga peluang yang diperolehi Lucas Elias dalam kotak penalti pada minit ke-25 terkena tiang gol ketika penjaga gol sudah tertewas sekali gus terselamat kubu tuan rumah.

Bagaikan tersentak selepas asakan bertali arus pelawat, skuad The Turtles memperkemaskan asakan, namun barisan penyerang yang diketuai Akanni Sunday Wasiu tidak begitu tajam.

Malah peluang terbaik yang dimiliki pemain kelahiran Nigeria berusia 35 tahun itu pada minit ke-29 gagal disudahkan dengan baik walaupun peluang terbuka luas untuk meledak gol.

Bersambung babak kedua pertahanan tuan rumah, Serhii Andrieiev mendapat peluang keemasan pada minit ke-46 tapi pemain itu mensiakannya walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol, Haziq Nadzli begitu juga rembatan Bruno Suzuki sedikit tersasar.

Pelawat yang kerap diasak mendapat peluang pada minit ke-70 untuk memimpin perlawanan melalui rembatan kencang Fazly Mazlan yang singgah di luar jaring gol untuk kekal 0-0 hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 12:25 AM