Dovizioso (tengah) dari Mission Winnow Ducati, kedua Marquez dari Repsol Honda Team dan ketiga Crutchlow dari LCR Honda Castrol bergambar di atas podium selepas perlumbaan Motosikal Grand Prix Qatar pagi ini. FOTO EPA.
AFP

PELUMBA Itali, Andrea Dovizioso memenangi sesi pembukaan MotoGP Qatar buat tahun kedua awal pagi ini, biarpun berdepan cabaran hebat daripada juara dunia, Marc Marquez untuk menduduki tempat pertama.

Kedua-dua pelumba bertukar-tukar penguasaan di pusingan akhir namun kelebihan berpihak Dovizioso, mendahului perlumbaan dengan jentera Ducati, yang memperolehi kemenangan dengan hanya 0.023 mendahului pencabar dari Honda di tempat kedua.

Ia menyaksikan pertembungan ulangan membabitkan dua pelumba teratas di Doha tahun lalu, apabila satu penamat mendebarkan selepas Dovizioso mengatasi Marquez dengan 0.027 saat.

Pelumba Britain Cal Crutchlow, satu lagi wakil Honda, turut menaiki podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.


Pelumba MotoGP Andrea Dovizioso dari Mission Winnow Ducati dengan jentera motosikalnya pada perlumbaan Motosikal Grand Prix Qatar. FOTO EPA.

“Saya sangat gembira kerana semuanya sebelum minggu ini sangat buruk,” kata Dovizioso.

“Sangat baik untuk memulakan permulaan seperti ini berdepan dengan juara.”

Warga Itali itu datang ke perlumbaan di Doha dengan kebimbangan mengenai kelajuan motosikalnya, tetapi berjaya menduduki tempat kedua dalam petak selepas sesi kelayakan.

Dia mendahului sekumpulan lapan pelumba yang menguasai perlumbaan namun diekori rapat oleh Marquez sepanjang perlumbaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 9:18 AM