Pengurus Liverpool Jurgen Klopp. FOTO AFP.
AFP

LIVERPOOL merapatkan jurang dengan pendahulu Manchester City dengan satu mata apabila bangkit mengalahkan Burnley 4-2, manakala Manchester United tewas buat pertama kali di peringkat domestik di bawah Ole Gunnar Solskjaer kepada Arsenal.

Chelsea, yang juga bersaing hebat merebut slot ke Liga Juara-Juara, hanya menghasilkan jaringan menerusi Eden Hazard pada minit akhir perlawanan untuk mencatat kedudukan seri 1-1 bertemu Wolves.

Penonton di Anfield berdebar menyaksikan anak buah Klopp yang seakan terlepas peluang menamatkan kemarau gelaran sejak 1990 apabila bergelut mengatur kebangkitan berdepan Burnley.


Mane (tengah) menjaringkan gol kedua Liverpool. FOTO EPA.

Roberto Firmino dan Sadio Mane masing-masing menyumbat dua gol bagi memastikan barisan pemain bimbingan Jurgen Klopp itu bangkit dengan kemenangan 4-2 sekali gus memastikan mengutip 73 mata iaitu perbezaan satu mata di belakang pasukan City yang dibimbing Pep Guardiola.

"Mesej hari ini adalah jelas bahawa tiada siapa boleh memandang sepi hasrat kami,” kata Klopp, yang sebelum ini terlepas mata berharga apabila sekadar mengutip dua kemenangan daripada enam perlawanan terakhir mereka.

"Kami mempunyai gabungan sempurna untuk melawan pencabar kami dan bermain bola sepak.

"Apa yang kami perlu lakukan adalah memastikan kekal dalam landasan perebutan persaingan yang menarik ini dan berada di atas. Kami tidak mempunyai masalah dengan keyakinan, kami berada dalam keadaan terbaik.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 12:32 PM