MORA (dua kiri) bersama kaptennya Hariss Harun (kiri) dan jurulatih serta kapten Gyeongnam pada sidang media di Johor Bahru, hari ini. — FOTO BERNAMA
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berusaha mempamer aksi terbaik apabila melayan kunjungan kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC pada saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Jurulatih Benjamin Mora berkata, reputasi kelab yang beraksi pada saingan K League 1 itu tidak boleh dinafikan kerana dibarisi pemain terbaik yang mampu menafikan usaha JDT melakar kemenangan pertama.

Katanya, persiapan bagi aksi kedua menentang kelab dari Korea Selatan itu berjalan lancar namun kelibat Natxo Insa sama ada diturunkan atau sebaliknya bergantung kepada sesi latihan rasmi. Dia mengalami kecederaan lutut sejak 2 Februari lalu.

“Semuanya bergantung kepada keputusan pegawai perubatan dan kami juga akan beri dia peluang berlatih dan melihat sendiri keadaan kecergasannya sama ada boleh beraksi atau bermula di bangku simpanan.

“Natxo sudah menjalani latihan bersama pasukan dan tampak bersungguh-sungguh dan saya tidak nafikan kelibatnya amat penting dalam pasukan kerana dia memainkan peranan penting di posisi tengah.”

Ditanya mengenai kekuatan Gyeongnam, Mora meramalkan kelab itu mengamalkan formasi permainan yang sama ketika seri dengan kelab dari China, Shandong Luneng 2-2 pada aksi pertama peringkat kumpulan.

Menurutnya, skuad kendalian Kim Jong Boo itu mempamer corak permainan pantas menerusi gerakan di posisi sayap kiri dan kanan dan harus mengawasi kelicikan Kim Seung Jun yang menjadi harapan mereka mencipta jaringan.

“Pemain nombor 10 (Kim Seung Jun) perlu disekat dan dia tidak boleh bergerak bebas kerana 80 peratus gol yang dijaringkan pasukan itu berpunca daripadanya. Malah hantaran lintang pemain pasukan itu juga boleh mengundang bahaya buat JDT.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 7:17 PM