Sergio Aguero (kiri) melakukan tandukan sambil dihalang pemain Schalke, Bastian Oczipka (kanan) dalam aksi Liga Juara-Juara pagi ini. FOTO AFP.
Sergio Aguero (kiri) melakukan tandukan sambil dihalang pemain Schalke, Bastian Oczipka (kanan) dalam aksi Liga Juara-Juara pagi ini. FOTO AFP.
Reuters

MANCHESTER City menguasai perlawanan ketika meranapkan impian Schalke, 7-0 untuk memastikan kemenangan 10-2 menerusi agregat dan menjadi wakil kelab Inggeris ketiga mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, pagi ini.

Rekod kemenangan besar peringkat Eropah di gelanggang sendiri bermula menerusi jaringan penalti pada minit ke 35 apabila Sergio Aguero mudah menyumbat masuk tatkala City mara ke kelompok lapan pasukan terakhir untuk kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Aguero menambah jaringan kedua untuk memastikan City mendahului tiga minit kemudian dan gerakan menarik Leroy Sane menjadikan kedudukan 3-0 sebelum tamat separuh masa pertama.

Raheem Sterling dan Bernardo Silva melebarkan kedudukan selepas waktu rehat bersambung dan pemain muda Phil Foden menjaringkan gol pertamanya di peringkat saingan Eropah sebelum Gabriel Jesus menjaringkan gol ke tujuh, sekali gus menjadikan ia kekalahan terbesar wakil Jerman itu dalam saingan Liga Juara-Juara.

City menyertai seterunya, Manchester United dan Tottenham Hotspur dalam undian suku akhir pada Jumaat, ia kali pertama sejak 2011 menyaksikan sekurang-kurangnya tiga kelab Inggeris layak ke peringkat lapan pasukan terakhir.

Dengan pasukan pilihan seperti Real Madrid dan Paris St Germain yang tersingkir dari saingan itu, barisan Guardiola dilihat berpeluang untuk mara ke final kejohanan.

“Ia keputusan yang baik. Kami tidak bermula dengan baik, kami agak berhati-hati ketika beraksi,” kata Guardiola di mana barisan pemainnya antara wakil Inggeris yang mencatat kemenangan terbesar menerusi agrigate dalam pusingan kalah mati.

“Namun selepas kedudukan 1-0, kami tenang dan mengambil keputusan untuk beraksi lebih baik dan agresif.”

Penyerang Manchester City Kun Aguero (kanan) menjaringkan gol pertama menewaskan penjaga gol Schalke Ralf Faehrmann dalam aksi Liga Juara-Juara pagi ini. FOTO EPA.
Penyerang Manchester City Kun Aguero (kanan) menjaringkan gol pertama menewaskan penjaga gol Schalke Ralf Faehrmann dalam aksi Liga Juara-Juara pagi ini. FOTO EPA.

Pemain Schalke mula diejek oleh peminat mereka dalam malam yang pahit buat pasukan bimbingan Domenico Tedesco apabila turut berdepan nasib terumbang ambing dalam saingan Bundesliga.

“Kamu boleh bayangkan bagaimana perasaan saya. Sangat teruk,” kata Tedesco. “Kami bermain baik untuk 30 minit, tetapi selepas bolos 1-0, kami menunjukkan prestasi yang merudum.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 8:26 AM