Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak. FOTO NSTP.
Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak. FOTO NSTP.
Izzali Ismail


KEDAH bakal 'mengasah kuku', bagi memperkuatkan skuadnya dalam tempoh cuti rehat Liga Super dengan mengatur tiga perlawanan persahabatan di sekitar kawasan Lembah Klang bermula 17 hingga 22 Mac ini.

Senarai perlawanan yang diatur sempena 'Jelajah Lembah Klang' ini bermula dengan aksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 17 Mac, disusuli perlawanan menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam (18 Mac) serta UKM FC di Stadium UM Arena Kuala Lumpur (21 Mac).

Hebahan maklumat mengenai tempat dan tarikh perlawanan ini dibuat melalui laman rasmi Facebook Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, skuad Kedah kendalian Aidil Sharin Sahak akan menggunakan tempoh rehat selama 20 hari Liga Super dengan mengadakan perlawanan persahabatan di luar Kedah sebelum bermula kembali saingan Liga Super pada 29 Mac ini.

Tiga perlawanan di kawasan Lembah Klang ini telah diatur bagi memastikan persiapan rapi aksi perlawanan ke-7 antara Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman pada 29 Mac ini.

Semua perlawanan persahabatan berkenaan bakal berlangsung jam 8.45 malam.

Dalam perkembangan lain, tiga pemain Kedah kini berada di kem latihan pusat bimbingan Tan Cheng Hoe untuk menghadapi kejohanan Piala AirMarine 2019 yang bakal dianjurkan buat julung kalinya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 hingga 23 Mac ini.

Tiga pemain berkenaan ialah penyerang Zaquan Adha, pemain pertahanan Mohd Rizal Ghazali dan penjaga gol Mohd Ifwat Akmal.

Sementara itu, dua pemain muda skuad Lang Merah, Mohd Fazrul Danel Nizam dan Muhammad Asri Mohamad merupakan antara empat pemain muda Kedah yang kini menjalani latihan selama sebulan dengan kelab Cardiff City Football Club (CCFC) hasil usaha kerjasama pembangunan yang terjalin antara KFA dan CCFC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 2:07 PM