KEUPAYAAN barisan pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT) mengikat Gyeongnam FC 1-1 dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam tadi mendapat pujian jurulatih Benjamin Mora.

Mora menegaskan kelibat Afiq Fazail dan Nazmi Faiz Mansor yang di posisi tengah manakala Safawi Rasid selaku sayap kanan dan Adam Nor Azlin mengemudi benteng pertahanan mempamer aksi menakjubkan.

Katanya, walaupun menentang kelab ternama dari Republik Korea namun pemain muda JDT nyata tidak gugup sebaliknya begitu matang beraksi dengan corak permainan pantas dan sentiasa menutup ruang buat pemain skuad kendalian Kim Jong-po bergerak.

"Safawi sering mengundang cemas kepada benteng lawan dan saya tidak nafikan dia pemain muda yang dahagakan kejayaan. Apapun dia akan belajar dan terus belajar untuk lebih mantap kerana bagi saya dia adalah pemain muda terbaik di negara ini.

"Jika dia tidak melakukan percubaan untuk mencari gol, dia tidak akan belajar dan saya suka pemain seperti itu yang begitu bersemangat dan kami perlu beri sokongan kepadanya untuk meneruskan usaha menjadi pemain yang lebih baik.

"Malah saya gembira denga corak permainan Afiq (Fazail), Nazmi (Faiz Mansor) dan Adam (Nor Azlin) yang mengetepikan faktor usia muda dan bersaing dengan pemain lawan yang memiliki pengalaman bukan sahaja dalam saingan liga tempatan mereka malah pentas antarabangsa," katanya.

Mengulas pertukaran Farizal Marlias yang mengalami kecederaan ketika sesi memanas badan, Mora mengakui tidak panik dengan insiden menimpa penjaga gol Harimau Selatan sebaliknya yakin dengan pengganti Farizal iaitu Izham Tarmizi Roslan yang beraksi cemerlang pada aksi itu.

Beliau berkata, persiapan yang dilakukan untuk mengemudi gawang gol bukan tertumpu kepada Farizal sahaja malah ia membabitkan Izham yang beri persembahan terbaik walaupun tersenarai pada saat akhir.

"Saya berbincang dengan Lucho (Luciano Figueroa) dan kami mengambil keputusan untuk meletak Izham selaku penjaga gol utama pada perlawanan itu.

Ternyata dia memberi komitmen tinggi dan berjaya menidakkan beberapa percubaan berbahaya."Mungkin rezeki tidak memihak kami untuk menang dalam perlawanan itu selepas beberapa percubaan terkena tiang dan palang gol.

Namun saya berterima kasih kepada pemain yang tampil dengan corak permainan luar biasa dan satu mata cukup bernilai bagi kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 3:49 PM
(Dari kiri), Nazmi, Safawi, Adam dan Afiq mendapat pujian Mora. FOTO NSTP