Asmirul (kiri) bawa kes Akhyar ke AIAC. FOTO NSTP
Izzali Ismail


PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) menepis segala andaian menyatakan kes berkaitan isu perpindahan kontroversi penyerang muda negara, Muhammad Akhyar Abdul Rashid sebelum ini terhenti.

Malah, KFA bertegas memaklumkan kes itu tetap diteruskan bermula melalui Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) berpusat di Kuala Lumpur.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya tidak pernah berpatah balik dalam proses membabitkan kes penyerang kebangsaan itu yang bermula sejak 18 Januari lalu selepas gagal menemui jalan penyelesaian.

"Ini bermula selepas mendapat nasihat peguam berkaitan proses timbangtara dilakukan menurut Fasal 12.1 dan pihak kami turut meneliti Artikel 25.3 iaitu Peraturan Status Pemain FAM dan juga keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM yang telah dibuat."

"Menurut Artikel 67 Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu perlembagaan FAM, badan induk itu sepatutnya mewujudkan tribunal timbang tara menangani rayuan daripada Jawatankuasa Rayuan."

"Bagaimanapun, tribunal itu masih belum diwujudkan dan ia disahkan pihak FAM sendiri melalui peguamnya."

"Untuk menangani ketidakwujudan tribunal itu ketika ini, peguam FAM mengesahkan bahawa badan paling sesuai untuk proses timbang tara adalah di Asian International Arbitration Centre (AIAC).

“Kami mendapat pengesahan daripada pihak peguam FAM sendiri," katanya.

Asmirul turut memaklumkan pihaknya mendapat khidmat dan nasihat peguam yang lebih komprehensif, menyeluruh dan mendalam berkaitan undang-undang dan peraturan sukan bolasepak profesional, termasuk peraturan Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Pihak kami menerima dan akur dengan pendapat peguam kami dan telah memulakan proses timbangtara domestik dahulu dimana pihak yang terlibat mesti menjalani segala proses perundangan secara domestik sebelum bidangkuasa CAS atau FIFA boleh terpakai.

"KFA merupakan ahli kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan badan induk ini adalah ahli kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA, jadi kami menerima prosedur yang wajib terpakai untuk menyelesaikan segala pertikaian yang timbul."

Asmirul mahu semua pihak menghormati prosedur ditetapkan dan tidak membuat membuat spekulasi negatif serta tidak berasas berkaitan kes yang berjalan ini.

"Saya percaya kesemua pihak harus bersabar menghormati prosedur ditetapkan serta tidak membuat andaian atau tanggapan tidak berasas mengenai hala tuju kes ini. Kami berharap semua pihak dapat bersabar menantikan keputusan proses timbang tara berkenaan."

"Apa penting adalah pihak KFA masih lagi meneruskan proses untuk menegakkan kebenaran melalui proses timbang tara yang sedang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 5:40 PM