Karius dakwa Besiktas tidak bayar gajinya selama empat bulan. FOTO REUTERS
Liverpool Echo/Esme Jo Intermezzo

TUNGGAKAN gaji pemain bolasepak berlaku di mana-mana.

Begitu juga buat penjaga gol, Loris Karius yang meminta FIFA mengambil tindakan selepas kelabnya, Besiktas tidak membayar gajinya selama empat bulan.

Penjaga gol dari Jerman itu yang dipinjamkan kepada kelab Turki itu, memfailkan aduan kepada badan induk bolasepak dunia itu, bulan lalu.

Karius meminta bayaran dibuat dalam tempoh 10 hari daripada tarikh ditetapkan tetapi belum mendapat gaji dalam jangkamasa ditetapkan itu.

Pertikaian kewangan yang berlanjutan itu terus memburukkan hubungan Karius dan Besiktas.

Dia menerima kritikan pedas daripada bos Besiktas Senol Gunes selepas membuat kesilapan ketika menang 3-2 ke atas Konyaspor, minggu lalu.

Gunes memberitahu dia lebih suka tidak menyenaraikan Karius berkata: "Karius tidak banyak berubah, ada sesuatu tidak kena dengan aliran elektrik dalam tubuhnya, motivasi dan semangat untuk perlawanan itu.

"Dia seperti itu sejak dari awal. Dia tidak merasakan sebahagian daripada pasukan, ia bukan sesuatu yang kami tidak boleh bekerjasama dan sudah tentu saya menjadi sebahagian yang dipersalahkan.

"Ada sesuatu tidak kena, dia juga tidak bernasib baik. Dia berbakat tetapi tidak berusaha memperbaiki dan kami berdepan masalah. Jika Tolga (Zengin) masih ada saya akan menurunkannya."

Karius, 25 dipinjamkan dari Liverpool ke kelab Turki itu untuk tempoh dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 7:44 PM