SAFAWI menghadiri sesi latihan di Bukit Jelutong, hari ini. — FOTO Firdaus Hashim
Firdaus Hashim


“PENAT bukan alasan tapi semangat nak bantu negara,” kata ayam tambatan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Safawi Rasid yang sanggup menolak faktor kepenatan bagi membantu persiapan pasukan negara yang kini dalam fasa terakhir mengharungi kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) minggu depan.

Safawi yang beraksi pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia bertemu Gyeongnam FC di Larkin malam tadi terus bergegas ke Kuala Lumpur untuk mengikuti latihan bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang dijadual menentang Filipina pada aksi pertama di Stadium Shah Alam.

Menurut pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu, kepenatan sudah menjadi lumrah buat dirinya yang bergelar pemain profesional malah mengakui pengalaman beraksi di peringkat tertinggi sama ada bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Harimau Malaya banyak memberi impak positif kepadanya.

“Apa yang saya pelajari bersama JDT khususnya pengalaman serta momentum beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia akan diteruskan untuk membantu skuad B-22 negara pada kelayakan Kejuaraan AFC B-23 nanti.

“Bukan saya saja, rakan sepasukan di JDT seperti Akhyar (Rashid) dan Syamer Kutty (Abba) turut mengalami perkara sama. Justeru, tiada istilah kepenatan tapi lebih kepada meneruskan momentum positif demi mengharumkan nama negara,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Padang Sime Darby, Bukit Jelutong, hari ini.

Safawi dan rakan sepasukannya dalam skuad Harimau Selatan iaitu Akhyar, Syamer, Haziq Nadzli dan Dominic Tan hadir selepas membantu juara Liga Super lima kali berturut-turut itu mengikat Gyeongnam dari Korea Selatan 1-1.

Dia turut mengakui tiada jalan mudah untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama meskipun sering membintangi skuad senior Harimau Malaya selain bergelar Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga M 2018.

“Meskipun saya sudah menyarung jersi skuad utama Harimau Malaya sebelum ini, ia tidak bermakna saya boleh ambil mudah. Saya tetap perlu bekerja keras dalam merebut kesebelasan utama dan membuktikan kebolehan saya pada sesi latihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 10:35 PM