RICE (kanan) beraksi dengan pasukan B-18 Ireland menentang Jerman pada 2016. — FOTO Agensi
AFP

KEPUTUSAN Declan Rice mengubah kesetiaan kepada England berbaloi apabila dipanggil kali pertama dalam skuad kendalian Gareth Southgate hari ini bagi aksi kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Montenegro hujung bulan ini.

Pemain tengah West Ham itu melakukan tiga penampilan bersama Republik Ireland namun semuanya pada perlawanan persahabatan bermakna dia masih boleh beraksi untuk England.

Pemain berbakat besar berusia 20 tahun itu dilahirkan di London namun layak bermain untuk Ireland kerana hubungan kekeluargaan di sebelah bapanya.

Bagaimanapun, selepas memikirkan secara masak, dia mengumumkan bulan lalu sedia bermain untuk England. Perubahan itu disahkan FIFA minggu lalu.

“Saya fikir ia satu keputusan besar apabila anda meminta pemain berpindah persatuan. Anda perlu berasa yakin bahawa anda rasakan mereka ada masa depan bersama anda,” kata Southgate.

“Lagipun, tidak ada sebarang jaminan diberikan kepadanya kerana saya fikir ia amat penting. Anda perlu bermain dengan bagus untuk berada dalam skuad, tapi persembahannya memang amat cemerlang.”

Selain memanggil Rice, Southgate kekal dengan tonggak utama yang membantu England layak ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu dan mara ke separuh akhir Liga Negara Eropah, Jun ini.

SKUAD ENGLAND

Penjaga gol: Jack Butland (Stoke), Jordan Pickford (Everton), Tom Heaton (Burnley)

Pertahanan: Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Ben Chilwell (Leicester), Harry Maguire (Leicester), Michael Keane (Everton), Luke Shaw (Man Utd), John Stones (Man City), Kyle Walker (Man City), Danny Rose (Tottenham), Kieran Trippier (Tottenham), James Tarkowski (Burnley)

Tengah: Dele Alli (Tottenham), Eric Dier (Tottenham), Jordan Henderson (Liverpool), Ruben Loftus-Cheek (Chelsea), Ross Barkley (Chelsea), Declan Rice (West Ham), Fabian Delph (Man City)

Penyerang: Marcus Rashford (Man Utd), Jadon Sancho (Borussia Dortmund/GER), Harry Kane (Tottenham), Callum Wilson (Bournemouth), Raheem Sterling (Man City)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 12:38 AM