AZIZUL perlukan kekuatan henjutan untuk lebih bersaing. — FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

JAGUH berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang tidak gusar dengan prestasi semasa yang kurang memberangsangkan kerana mahu fokus menambah berat jisim otot sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Azizul menjelaskan kebanyakan pakar sains sukan berkata, dia antara pelumba yang memiliki tahap kepantasan terbaik dunia, namun terdapat kelemahan dari aspek fizikal dan memerlukan jisim otot yang tinggi untuk menjadi lebih kuat.

“Kerja keras bukan saja tertumpu di gimnasium dan trek semata-mata, tapi bagi mendapatkan prestasi tinggi, jisim otot juga memainkan peranan penting.

“Salah satu sebab prestasi tidak bagus dalam beberapa kejohanan sebelum ini kerana saya kekurangan kuasa henjutan, memandangkan berat badan hanya 70kg berbanding pelumba Eropah, mereka paling minimum dalam lingkungan 90kg dan ke atas. Lebih tinggi jisim otot, lebih banyak kekuatan yang boleh dikeluarkan ketika di atas basikal,” katanya.

Azizul, yang terkenal dengan panggilan ‘The Pocket Rocketman’ berkata, bagi mencerahkan peluang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo dalam acara berpasukan, trio negara yang kini berada di ranking ke-14 dunia perlu mencapai keputusan sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik pada siri kejohanan dunia yang disertai tahun ini.

Berdasarkan prestasi semasa, gandingan bekas juara keirin dunia itu dengan Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis awal tahun ini tidak memberangsangkan dan perlu diperbaiki pada kejohanan penting tahun ini terutama Siri Kejohanan Dunia dan Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) hujung tahun ini.

“Fokus utama saya dalam acara individu. Saya harap dapat kekalkan ranking (keirin individu) tahun depan. ​​​​​​​Keutamaan saya adalah keirin. Acara berpasukan ini lebih​ ​​​​​​kepada memberi peluang pelumba muda seperti Shah Firdaus dan Fadhil,” katanya.

Setakat ini Azizul berada di ranking kedua dunia dalam acara keirin dan kedudukan ke-22 bagi acara pecut.

Dalam acara individu dan berpasukan, pelumba perlu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia untuk layak beraksi di Sukan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 7:08 PM