The Sun/Esme Jo

MESUT Ozil secara rasmi meraih anugerah Gol Tercantik Bulanan Arsenal yang dilakukannya ketika menentang Bournemouth.

Penjaga gol Cherries, Artur Boruc diperdaya perancang Jerman itu yang menyungkit bola melepasinya ketika menang 5-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada penghujung Februari lalu.

Rakaman ulang tayang video menunjukkan Ozil sengaja menyungkit bola untuk menghasilkan lantunan yang sedikit berbeza daripada sepakan biasa.

Ia seperti sudah menjadi penyudah ‘trademark’ buat pemain tengah itu dan penyokong terkejut melihat bola menerjah masuk ke jaring gawang lawan.

Seorang peminat menulis di laman Twitter: "Satu lagi teknik lantunan nakal daripada Ozil”.

Seorang penyokong lagi berkata: "Masih tidak faham hingga sekarang bagaimana penyudah Ozil itu."

Ozil, 30, hanya mengambil masa empat minit untuk menjaringkan gol menentang Bournemouth sebelum Henrikh Mkhitaryan, Laurent Koscielny, Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette melengkapkan lima jaringan Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 10:25 PM
Jaringan Ozil ketika menentang Bournemouth. FOTO AFP