UMTITI meraikan kejayaan Perancis menjuarai Piala Dunia di Russia. — FOTO Agensi
AFP

PERTAHANAN Barcelona, Samuel Umtiti dan pemain sayap Bayern Munich, Kingsley Coman kembali ke skuad Perancis hari ini ketika pemenang Piala Dunia itu bersiap sedia memulakan kempen kelayakan Euro 2020.

Umtiti tidak bersama ketika pemain Perancis berkumpul pada Oktober dan November lalu namun kini kembali cergas selepas kecederaan lutut dan seorang daripada 16 pemain kendalian Didier Deschamps yang mengungguli Piala Dunia disenarai dalam skuad 23 pemain.

Kecederaan menjejaskan karier Coman dan pemain berusia 22 tahun itu tidak bermain buat negaranya sejak November 2017.

Perancis berdepan negara kerdil Moldova, yang menghuni ranking ke-170 dunia di Chisinau pada 22 Mac ini bagi aksi pembukaan kelayakan Kumpulan H Euro 2020.

Mereka kemudian menanti kunjungan Iceland pada 25 Mac di Stade de France bagi ulangan suku akhir Euro 2016 yang mana Les Bleus menang 5-2.

Paul Pogba dan Anthony Martial turut kembali sesudah terlepas aksi Perancis menentang Belanda pada aksi Liga Negara Eropah dan Uruguay pada aksi persahabatan November lalu kerana kecederaan.

Perancis, yang tewas final Euro 2016 di tangan Portugal, turut berdepan Albania, Andorra dan Turki dalam Kumpulan H dengan dua pasukan teratas layak ke pusingan akhir.


COMAN (kiri) kali terakhir beraksi dengan Les Bleus pada November 2017. — FOTO Agensi

SKUAD PERANCIS

Penjaga gol: Alphonse Areola (Paris Saint-Germain), Hugo Lloris (Tottenham Hotspur/ENG), Steve Mandanda (Marseille)

Pertahanan: Lucas Digne (Everton/ENG), Presnel Kimpembe (PSG), Layvin Kurzawa (PSG), Benjamin Pavard (VfB Stuttgart/GER), Djibril Sidibe (Monaco), Raphael Varane (Real Madrid/ESP), Samuel Umtiti (Barcelona/ESP), Kurt Zouma (Everton/ENG)

Tengah: N’Golo Kante (Chelsea/ENG), Blaise Matuidi (Juventus/ITA), Tanguy Ndombele (Lyon), Paul Pogba (Manchester United/ENG), Moussa Sissoko (Tottenham Hotspur/ENG)

Penyerang: Kingsley Coman (Bayern Munich/GER), Nabil Fekir (Lyon), Olivier Giroud (Chelsea/ENG), Antoine Griezmann (Atletico Madrid/ESP), Anthony Martial (Manchester United/ENG), Kylian Mbappe (PSG), Florian Thauvin (Marseille)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 10:47 PM