Pemain pertahanan Yan Valery kekal di Southampton.
Reuters

PEMAIN pertahanan Southampton Yan Valery menandatangani kontrak baru untuk kekal di St Mary sehingga 2023, menurut jurucakap kelab itu.

Pemain berusia 20 tahun dari Perancis itu menyertai The Saints dari kelab Perancis, Rennes pada 2015 dan membuat penampilan pertama bersama pasukan pada November.

Dia sering menjadi pilihan dalam kesebelasan utama pasukan di bawah bimbingan jurulatih baru Ralph Hasenhuttl di kelab itu yang kehilangan beberapa pemain muda berbakat kepada seteru utama Liga Perdana sejak beberapa tahun ini.

“Pengurus ini memberikan saya sepenuh kepercayaan, jadi saya gembira untuk menyambung kontrak,” kata Valery dalam kenyataan yang dikeluarkan kelab itu.

“Saya tidak sabar untuk beraksi bersungguh-sungguh dan membantu pasukan untuk terus bersaing dalam Liga Perdana. Saya akan bekerja keras dan mempertingkatkan mutu permainan.”

Valery menjaringkan gol pertama bersama pasukan senior ketika menentang Manchester United awal bulan ini dan menjaringkan satu lagi gol ketika pasukannya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur Sabtu lalu.

“Perkembangan Yan (Valery) sangat menarik sejak beberapa bulan ini,” kata Hasenhuttl.

“Saya fikir dia adalah pemain yang sesuai dengan corak permainan Southampton kerana dia masih muda dan berfikir jangka panjang.

“Dia diberi kepercayaan dan menunjukkan dengan cepat apa yang kami mahukan kepada pemain iaitu berani serta percaya diri sendiri.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 3:27 PM