Zuhair mahu rebut kesebelasan utama. FOTO NSTP


PENJARING gol kemenangan Pahang menewaskan Kedah 1-0 pada 9 Mac lalu, Zuhair Aizat Mohd mahu membuktikan dirinya memberi sumbangan penting dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

Pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berkata, musim kedua bersama skuad Tok Gajah adalah peluang terbaik menjadi pilihan jurulatih, Dollah Salleh sebaik saingan Liga Super bersambung nanti. 

"Sebaik diberi peluang beraksi pada perlawanan dengan Kedah lalu, saya sedar perlu bekerja keras dan berterima kasih kepada jurulatih kerana percaya dengan kebolehan dimiliki. 

"Saya percaya jaringan tunggal ketika membantu Pahang menewaskan Kedah menambah lagi keyakinan untuk berada dalam kesebelasan utama selepas ini. 

"Biarpun perlu bersaing dengan pemain lebih berpengalaman, saya percaya berkat kesabaran dan latihan intensif akan membantu menyakinkan jurulatih," kata pemain tengah itu.

Musim lalu, Zuhair Aizat yang kali pertama menyarung jersi skuad Tok Gajah menjaringkan satu gol dalam kempen Piala Malaysia. 

Namun, pemain berumur 23 tahun itu perlu bersaing dengan pemain berpengalaman antaranya Nor Azam Azih dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria di posisi tengah. 

Pada masa sama tiga posisi tengah menjadi pilihan Dollah Salleh adalah Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharudin dan Saddil Ramdani. 

Justeru, Zuhair Aizat tidak mahu alasan sebagai pemain kurang pengalaman menghalang misi untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. 

"Tiada mustahil mencapai misi berkenaan kerana fokus utama mempertingkatkan prestasi dan corak permainan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 6:01 PM