KEVIN (kiri) bersama ahli lembaga pengarah MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) dan Datuk Yusoff Mahadi pada sidang media di Johor Bahru, hari ini. — FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil langkah drastik apabila menamatkan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia (TM) serta-merta susulan kegagalan syarikat telekomunikasi negara itu menjelaskan bayaran penajaan musim ini.

Selepas mesyuarat ahli lembaga pengarah yang dipengerusikan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Johor Bahru hari ini, MFL mencapai kata sepakat itu selepas gagal mendapatkan kerjasama TM sejak awal tahun ini.

TM sebelum ini menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun bermula 2018 hingga 2025 dengan nilai tajaan RM480 juta.

Jelas Tunku Ismail, beliau amat kecewa dengan tindakan kurang profesional TM dan mahu Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam segera melihat apa jua ruang termasuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya sudah arahkan CEO MFL untuk mengadakan perbincangan rasmi dengan pihak yang berminat dengan segera.

“Sebelum ini kami mendapat pertanyaan secara tak rasmi apabila ada pihak mendengar khabar angin TM tidak mahu meneruskan tajaan Liga Malaysia namun kami sentiasa menghormati kontrak bersama TM.

“Seperti kami pernah umumkan dahulu, kami sentiasa menjadi rakan kongsi yang baik kepada TM dan mahu memberi mereka masa untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Selain itu MFL sudah banyak kali berusaha untuk mengadakan perbincangan dengan TM tapi langkah itu menemui jalan buntu. Jadi MFL tidak boleh terus menunggu kerana kami ada tanggungjawab untuk menguruskan Liga Malaysia.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:49 PM