MD ADI HARMIZI ARIFFIN
Syazwan Msar


PEMEGANG taruh Malaysian Football League (MFL) terus berdiri teguh dan yakin terhadap kemampuan organisasi terbabit menguruskan Liga Malaysia (Liga M) walaupun berhadapan dengan penamatan kontrak penajaan Telekom Malaysia (TM).

Antara yang menyatakan sokongan adalah PKNS FC, antara 24 pasukan rakan kongsi MFL yang menegaskan pihaknya tidak akan persoalkan keputusan yang dibuat Ahli Lembaga Pengarah MFL berkenaan perkara terbabit.

Menurut Setiausaha Agung Kelab Bolasepak PKNS, Md Adi Harmizi Ariffin berkata, pihaknya percaya keputusan itu dibuat selepas penilaian sebaiknya demi kelangsungan kemajuan bolasepak negara.

Katanya, beliau positif kesemua pemegang taruh MFL dapat menarik nafas lega apabila Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam tetap memberikan jaminan geranan tahunan akan diberikan kepada rakan kongsi walaupun ketiadaan TM pada musim ini.

“PKNS FC menaruh keyakinan yang tinggi kepada Pengerusi MFL, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam usaha mendapatkan penaja baharu.

“Jaminan yang diberikan oleh MFL berkenaan geran tahunan amatlah melegakan pasukan, kerana sedikit sebanyak ianya membantu pasukan.

“Apa yang pasti, PKNS akan sentiasa bersama-sama MFL dalam memastikan sukan bola sepak kekal di landasannya,” katanya, di sini.

Jumaat lalu, MFL mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama TM yang sebelum ini ditandatangani untuk tempoh lapan tahun pada Januari tahun lalu, selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya bersedia untuk menghulurkan bantuan sewajarnya kepada MFL.

“Memang benar geranan tahunan menjadi tanggungjawab MFL tetapi kami sebagai rakan kongsi berpendapat apa yang berlaku kepada organisasi itu turut menimpa kami.

“Ia bukan masa untuk menuding salah siapa tetapi saya percaya kesemua pemegang taruh memiliki idea untuk mencari jalan penyelesaian dalam isu ini berbanding mencari kesilapan mana-mana pihak.

“Daripada pihak FAS sendiri, kami bersedia bila-bila masa untuk menghulurkan bantuan kepada MFL sekiranya memerlukan bantuan kami tidak kira apa jua aspek,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar menegaskan pihaknya sentiasa optimis kepada MFL yang berusaha keras menyelesaikan masalah ketiadaan TM selaku penaja utama Liga Malaysia musim ini.

Selain itu, beliau juga menggesa rakan kongsi MFL supaya tidak cepat melatah di sebalik ketiadaan syarikat telekomunikasi itu dengan kekal yakin kepada kepimpinan Tunku Ismail dalam usaha memartabatkan liga tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:17 PM