JUVENTUS gagal pamer aksi mantap ketika seri dengan Genoa. -Foto REUTERS
JUVENTUS gagal pamer aksi mantap ketika seri dengan Genoa. -Foto REUTERS
Reuters

JUVENTUS mengalami kekalahan pertama di Serie A musim ini malam ini, apabila tewas kepada Genoa 0-2, beberapa hari selepas kelab Turin itu menewaskan Atletico Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara.

Stefano Sturaro, yang dipinjamkan ke Genoa dari Juventus pada Januari sebelum kekal di kelab itu, meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada separuh masa kedua sebelum seorang lagi pemain gantian Goran Pandev memberi kejutan ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Cristiano Ronaldo membantu Juara Itali itu kembali ke kancah Eropah awal pagi Rabu lalu apabila jaringan hatriknya menyelamatkan defisit 0-2 di tangan Atletico pada perlawanan pertama untuk mara ke suku akhir dengan agregat 3-2.

Bagaimanapun bintang Portugal itu direhatkan daripada skuad itu untuk kunjungan ke Genoa dan anak buah Massimiliano Allegri longlai di tangan Genoa, kali kedua musim ini selepas seri 1-1 di Turin Oktober lalu.

“Saya mengharapkan Juventus yang berbeza,” kata Allegri.

“Kami tidak mempamerkan aksi yang bagus, melakukan beberapa kesilapan dan gol datang entah dari mana.

“Seperti juga kekalahan Coppa Italia kepada Atalanta, kami memilih perlawanan tepat untuk kalah kerana ia adalah perlawanan sebelum rehat antarabangsa, jadi kami mempunyai masa untuk berehat.

“Saya gembira dengan Stefano, kerana jika ada yang patut menembusi gawangnya, saya gembira orangnya adalah Sturaro. Dia seorang yang baik dan banyak menderita, tidak beraksi selama setahun kerana kecederaan tendon, jadi dia berhak menjaringkan gol.”

Juve kehilangan mata tiga kali musim ini sebelum perlawanan itu dengan keputusan seri ketika berdepan Genoa, Atalanta dan Parma.

Di sebalik kekalahan itu, Juventus kekal 18 mata di puncak mengatasi Napoli di tangga kedua manakala Genoa memintas Sassuolo di tangga ke-12 dengan 33 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 10:51 PM