LEE ZII JIA
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


BEKAS pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek mengaku arena badminton negara memerlukan sedikit masa jika ingin kembali menjadi kuasa besar dalam sukan berkenaan.

Menurutnya, buat masa sekarang, pemain muda seperti Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) perlu bersaing dengan tonggak berpengalaman negara lain.

“Pemain berpengalaman masih lagi ramai beraksi di luar sana, manakala pemain yang kita harapkan untuk membantu menaikkan semula ranking negara kita pula masih muda,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Ujar pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu, pemain muda negara harus melalui beberapa fasa lagi untuk menjadi taruhan utama iaitu terus menjadi juara dan kekal konsisten.

“Mereka perlu menimba ilmu dan pergi bertanding lagi. Jadi, mereka harus diberi masa bukannya mendapat keputusan segera kerana ia akan memberi tekanan kepada mereka sendiri.

“Ini satu tekanan yang kurang bagus buat mereka. Jika tekanan terlalu tinggi, susah buat mereka untuk beraksi dengan baik. Cuma sekarang kita nampak mereka memang ada peningkatan dan menjadi harapan buat Malaysia,” kata Rashid.

Kelmarin, bekas pemain perseorangan lelaki luar negara yang enggan dikenali memberi pandangan bahawa Malaysia mampu melonjak dalam kedudukan ranking dunia dengan tonggak muda sedia ada.

Rashid juga mengakui bahawa pemain senior tetap mempunyai peranan untuk membantu menaikkan semula imej badminton negara walaupun ada di antara mereka sudah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Pemain senior juga perlu membantu, tidak semestinya mereka sudah keluar (meninggalkan BAM) mereka tidak mempunyai peranan. Perlu ada kerjasama antara BAM dan pemain kerana mereka juga menaikkan nama badminton Malaysia.

“Sebelum ini juga memang kita dibantu dengan kehadiran Datuk Lee Chong Wei, namun ketiadaannya sedikit sebanyak memberi kesan,” kata bekas jurulatih perseorangan lelaki negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 7:00 AM