Zainal mahu skuad Melaka United pamer persembahan terbaik. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PASUKAN Liga Super Melaka United (MU) bakal membentuk dua pasukan dalam misi memberi peluang kepada semua pemain beraksi dalam perlawanan persahabatan berdepan Sabah pada Rabu dan Khamis ini di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka.

Ketua jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan, berkata pembentukan dua pasukan berkenaan memberi ruang yang lebih luas kepada semua pemain termasuk barisan simpanan memperaga persembahan terbaik.

Beliau berkata, perlawanan dua hari berturut-turut itu juga antara usaha bagi memantapkan persembahan skuad Hang Tuah menjelang saingan Liga Super berdepan PKNS FC pada 29 Mac ini.

Zainal berkata, sebaik sesi latihan selama lebih seminggu dengan penekanan kepada aspek ketahanan fizikal, mental dan taktikal, beliau berharap ujian berdepan skuad dari Borneo itu pentas buat skuad itu menterjemah apa yang dipelajari selama ini.

“Pada keseluruhannya, saya berharap mereka akan menampilkan persembahan terbaik masing-masing termasuk pemain yang tidak disenaraikan dalam kesebelasan pertama sepanjang saingan liga sebelum ini.

“Kesungguhan dan kematangan pemain dalam pertemuan itu kelak mampu menjadi pengukur kepada keperluan untuk meletakkan mereka sebagai antara pilihan pertama,” katanya.

Sementara itu, dia melihat pemain kian fokus untuk pertemuan berdepan The Bos Gaurus selepas kekalahan terburuk kepada Terengganu 0-3 pada aksi di gelanggang lawan sebelum ini.

Malah anak buahnya sudah melupakan kekalahan mengejut berkenaan dalam masa sama berjanji untuk tampil cemerlang.

Zainal berkata, dia yakin persembahan longgar ketika bertemu Sang Penyu tidak akan diulangi sebaliknya akan agresif untuk meraih kemenangan.

Justeru, keazaman tinggi yang dimiliki anak didiknya bakal memberi impak besar terhadap keputusan perlawanan sekali gus memperbaiki kedudukan di carta liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 2:48 PM