GAYA kurang sopan Ronaldo ketika meraikan gol ketiga menentang Atletico, minggu lalu. — FOTO EPA
AFP

UEFA memulakan siasatan terhadap cara Cristiano Ronaldo meraikan jaringan selepas meledak hatrik ketika Juventus bangkit memenangi aksi Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, minggu lalu.

Badan induk bola sepak Eropah itu menyatakan Ronaldo berdepan tuduhan “salah laku” selepas dia meniru gaya ‘cojones’ Diego Simeone ketika tewas 0-3 yang membolehkan Juventus mara 3-2 secara agregat.

Selepas menyempurnakan gol penalti penentu empat minit sebelum tamat, Ronaldo mengalih ke arah penonton Atletico dan mengajuk cara Simeone meraikan kemenangan 2-0 pada aksi pertama dengan gaya kurang senonoh.

Keputusan mengenainya akan ditentukan UEFA, Khamis ini.

Juventus menentang kelab Belanda, Ajax pada suku akhir Liga Juara-Juara pada 10 April depan di Amsterdam dan 16 April di Turin.

Jurulatih Massimiliano Allegri berkata, beliau yakin Ronaldo tidak akan didenda atau digantung perlawanan.

“Saya fikir setiap orang meraikan gol dengan cara sendiri di padang dan di tempat bangku penonton. Saya tidak lihat sesuatu yang aneh, hanya meraikan gol. Sudah tentu tiada penggantungan,” kata Allegri.

Pemenang Liga Juara-Juara lima kali, Ronaldo adalah penjaring gol terbanyak dalam pertandingan Eropah dengan 124 gol dalam 160 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 9:44 PM