AZIZUL (kiri) dan Siti Rahmah memperagakan trofi dan hadiah sebagai Olahragawan, Olahragawati Terengganu 2018, malam ini. — FOTO Imran Makhzan
Malik Muhamad


JAGUH berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan pesilat kebangsaan, Siti Rahmah Mohamed Nasir masing-masing dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2018 pada majlis anugerah sukan negeri itu di Kuala Terengganu, malam ini.

Lebih membanggakan Azizul yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman bukan hanya mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu malah ia kali keenam buatnya meraih gelaran itu manakala Siti Rahmah mencatat sejarah peribadi keduanya merangkul anugerah itu.

Pemilihan juara dunia acara keirin 2017 itu berdasarkan kejayaannya memenangi satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan Asia di Palembang, Indonesia tahun lalu.

Selain itu, pelumba yang kini berada di ranking kedua dunia dalam acara keirin dipilih selepas dianugerahkan Olimpian Lelaki Terbaik 2018 oleh Majlis Olimpik Malaysia tahun lalu.

Raja berbasikal trek negara kelahiran Dungun itu mengetepikan empat pesaing iaitu Nafiizwan Adnan (skuasy), Harrif Salleh (berbasikal), Khairul Anuar Mohamad (memanah) dan Arvin Shaun Singh Chanal (renang).

Siti Rahmah pula dipilih selepas memenangi pingat emas pada Kejohanan Silat Dunia 2018 di Singapura serta pingat perak Kejohanan Silat Asia Tenggara.

Pesilat negara yang pernah meraih gelaran Olahragawati pada 2016 itu mengetepikan Alia Sazana Azahari (menembak), Azreen Nabila Alias (olahraga), Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman (pelayaran) dan Nur Alia Ghapar (memanah).

Dengan kemenangan itu, Azizul atau lebih mesra dipanggil Jijoe dan Siti Rahmah masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000, RM2,000 kepada persatuan yang diwakili, piala pusingan, piala iringan, sepasang blazer dan sijil kepujian.

Bagi anugerah Olahragawan Harapan pula disandang pemain hoki kebangsaan, Akhimullah Anuar Esook manakala Olahragawati Harapan disandang atlet berbasikal, Nur Aisyah Mohamad Zubir.

Hadiah kepada pemenang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, A Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 12:01 AM