POCHETTINO. Foto Agensi
Agensi

PENGURUS Tottenham Mauricio Pochettino berkata Manchester United adalah kelab yang dibina untuk ‘memenangi gelaran hebat’ menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona, namun beliau mengakui Blaugrana ‘setahap lebih tinggi’ dan wajar menjadi pasukan pilihan menjuarai Piala Eropah itu Jun depan.

United mengalami kebangkitan di bawah kendalian pengurus sementara Ole Gunnar Solskjaer, yang mengambil alih kelab itu selepas Jose Mourinho dipecat pada Disember dan masih memburu kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selain bersaing di Eropah.

Bagaimanapun Pochettino yang dikaitkan dengan United sejak pemergian Mourinho memberitahu wartawan di Barcelona bahawa Red Devils perlu bekerja lebih keras untuk sampai ke tahap Messi dan rakan-rakannya.

“Saya fikir Manchester United dibentuk sejak beberapa tahun lalu untuk memenangi gelaran hebat,” kata Pochettino ketika ditanya mengenai perlawanan itu.

“Namun memenangi kejohanan seperti Liga Juara-Juara atau Liga Perdana Inggeris sentiasa bergantung terhadap perkara-perkara kecil.

“Sudah pastilah mereka mempunyai pemain yang mampu menyusahkan Barcelona tetapi saya fikir Barcelona satu tahap lebih tinggi daripada Manchester United.”

Bekas pemain dan pengurus Espanyol itu berkata: “Jika ada pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Juara-Juara, pasukan itu tentunya Barcelona.

“Ernesto Valverde menjalankan tugasnya dengan baik. Mereka juga mempunyai pemain di tahap luar biasa. Mereka juga memiliki Leo Messi.

“Anda juga mempunyai pasukan seperti Manchester City atau Juventus yang sudah pasti mempunyai peluang menjuarai kejohanan itu kerana mereka adalah pasukan yang direka untuknya.”

Pochettino yang pasukannya Spus diundi menentang Manchester City pada separuh akhir, dilihat sebagai pilihan awal menggantikan jawatan itu di Old Trafford sehinggalah pencapaian cemerlang Solskjaer menjadikannya satu-satunya calon serius untuk tugas itu, menurut sumber bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 11:14 AM